Lulus Akta Perhimpunan: Rakyat perlu tolak Umno-BN – Aziz Bari

(Oleh: Rusnizam Mahat)

KUALA LUMPUR 30 Nov: Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, tidak ada jalan lain untuk menyekat Umno-BN daripada terus menggubal undang-undang yang bertentangan prinsip perlembagaan, selain rakyat menumbangkan kerajaan sedia ada pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman yang kini dikenali Akta Perhimpunan Aman 2011 di dewan rakyat, semalam.

“Nak buat apa lagi? Sekadar memprotes dan yakinkan rakyat bahawa dalam PRU ini mereka perlu tolak Umno-BN yang jelas tidak komited dengan janji mereka sendiri (untuk melakukan perubahan),” kata Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu.

Mengulangi Akta berkenaan jelas bercanggah dengan semangat perlembagaan, Aziz menyifatkan ia lebih dasyat dari peruntukan Seksyen 27 Akta Polis yang mengehadkan kebebasan berhimpun- suatu perkara yang dijamin perlembagaan.

“Ia lebih teruk dari Seksyen 27 Akta Polis tentang (pemberian) permit (berhimpun) itu. Jadi kalau seksyen itu pun disyor supaya dimansuh, kita boleh bayangkan betapa dahsyatnya RUU ini,” kata beliau.

Dalam pada itu katanya, terpulang kepada Pakatan Rakyat atau majlis peguam sekiranya mereka mahu membawa perkara itu ke mahkamah.
“Kalau depa (mereka) nak ke mahkamah tiada masalah, kita tengoklah macam mana mahkamah bersilat,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya diimbas kes-kes yang lalu, mahkamah berkemungkinan memutuskan ia terletak di bawah kuasa parlimen dan tidak boleh berbuat apa-apa.

“Dan mahkamah akan kata kalau tak suka undang-undang itu, medan penyelesaiannya ialah politik, bukan mahkamah atau undang-undang,” kata Aziz.

No comments

Powered by Blogger.