Hanya UMNO penaung Melayu? – Oleh T.K. Tan

16 NOVEMBER – Kepercayaan bahawa ‘UMNO itu Melayu, Melayu itu UMNO’ telah sebati dalam pemikiran kebanyakan orang Melayu sejak Merdeka. Bila waktu pilihan raya mengunjung, payah dicabar kedudukan UMNO-BN sebagai pilihan tunggal pengundi Melayu.

Apakah tanggapan tersebut masih sahih? Sesuatu mitos, bila berakar tunjang dalam pemikiran seseorang, sukar diubah ketetapannya.

Walau pun Malaysia kini mempunyai liputan dan kadar penggunaan internet yang cukup tinggi berbanding negara jiran serantau, kebergantungan dan tahap kepercayaan orang Melayu terhadap propaganda dan berita media kawalan pemerintah UMNO-BN masih kuat.

Apa puncanya yang menyebabkan anggapan bahawa UMNO itu penaung Melayu bertapak kukuh sehinggakan menjadi satu mitos yang sukar dikikis?

Payung berlubang DEB

Antara kepercayaan masyarakat Melayu yang paling menguntungkan dan memberi sumbangan terbesar kepada UMNO ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kerap kali pemimpin UMNO mengingatkan kaum Melayu yang mereka ini lemah daya saing dan perlu perlindungan kerajaan untuk berdikari sebelum dapat menyaingi kaum lain dalam sektor ekonomi.

Antara matlamat utama DEB yang sepatutnya berakhir pada tahun 1990 sejak diperknealkan pada 1970 ialah memastikan pengagihan kekayaan yang saksama antara kaum. Matlamat 30 peratus diusulkan untuk pemilikan saham syarikat yang disenaraikan oleh kaum Bumiputera.

Namun sejak 1990, kerajaan UMNO-BN sering menyebut yang matlamat 30 peratus itu belum tercapai; penduduk Bumiputera hanya menguasai sekitar 19 peratus daripada saham syarikat yang disenaraikan di dalam Bursa Malaysia.

Tetapi satu kajian oleh pusat penyelidikan Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI) yang bertajuk “Corporate Equity Distribution: Past Trends and Future Policy” dalam tahun 2006 telah membuktikan sebanyak 45 peratus daripada saham syarikat tersenarai Malaysia kini dikuasai kaum Bumiputera.

Satu kajian berasingan oleh Dr. M. Fazilah Abdul Samad, ketua bahagian kewangan dan perbankan dalam Fakulti Bisnes dan Perakaunan Universiti Malaya, yang diterbit pada tahun 2002 telah membuktikan yang matlamat 30 peratus DEB ini sudah tercapai semenjak 1997.

Fakta ini mungkin tidak membawa apa-apa makna kepada orang Melayu yang kebanyakannya berpendapatan rendah. Hakikatnya ialah kebanyakan penduduk Melayu tidak hidup mewah. Hanya segelintir yang menjadi jutawan.

DEB memang penting untuk penyusunan semula masyarakat dan agihan kekayaan yang lebih saksama. Tetapi UMNO telah menjadikannya alat untuk menguasai minda Melayu. Pelaksanaannya sudah lama tersasar. Yang kaya semakin kaya, yang miskin masih menanti buah yang tidak gugur.

Kemiskinan Melayu di bawah payung UMNO

Mengikut kajian seorang penyelidik sosial, Jayanath Appudurai, dianggarkan 43.2 peratus isi keluarga kaum Bumiputera kini hidup di bawah paras pendapatan garis kemiskinan (PGK). PGK kiraan beliau berpandukan pendapatan bulanan RM2,000 kebawah dan sesebuah isi rumah mempunyai 4.2 anggota.

Hakikat ini juga diperkuatkan apabila unit pekali GiNi Malaysia kini adalah antara yang tertinggi di Asia, mencatatkan angka 0.46 dan lebih tinggi untuk kaum Bumiputera.1 (Nota: Pekali GiNi ini menilai ralat pertaburan pendapatan atau perbelanjaan antara individu atau isi keluarga dalam sesebuah negara dari skala pertaburan yang sama dan sempurna. Angka 0 menunjukkan kesamarataan mutlak, sementara angka 1.0 ketidaksamarataan mutlak).

Ironinya, mengikut pengiraan indeks pembangunan insan Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) yang menyukat tiga dimensi pembangunan insan, yakni usia yang panjang dan sihat, tahap berpelajaran dan taraf hidup yang memuaskan, Malaysia mencatatkan tahap bacaan yang tinggi.

Dalam erti kata lain, walau pun rakyat Malaysia dan khasnya kaum Melayu pada zahirnya kelihatan kaya dan makmur, hakikatnya kekayaan kaum Melayu kini dikuasai segelintir orang yang mempunyai “connection” sahaja.

Mungkin ini yang dimaksudkan oleh kebangkitan rakyat di Barat sekarang dengan slogan “we are the 99%” untuk merujuk kepada penguasaan kekayaan oleh segelintir kumpulan maha kaya yang menentukan corak kehidupan semua orang.

Masyarakat Melayu rela dengan salah guna kuasa UMNO?

Sikap takut dan tunduk di kalangan kebanyakan orang Melayu dengan pihak berkuasa telah membuahkan satu keadaan di mana UMNO mampu berkuasa tanpa perlu membuka banyak ruang kebebasan dan demokrasi selama lebih 50 tahun.

Kerelaan masyarakat Melayu untuk mempercayai pemerintah yang berkuasa daripada menuntut hak sebagai rakyat tanpa mengira kuam, walau pun hak-hak itu halal seperti mengundi dan berhimpun secara aman, mungkin disebabkan mitos dan persepsi bahawa Melayu tiada pilihan lain yang lebih selamat.

Hakikat, sikap kebanyakan orang Melayu ini telah membuka jalan untuk UMNO dan rakan-rakan komponen BN memberi peluang kepada kroni yang berhubung rapat dengan pemerintah untuk mengaut harta dengan cara yang tidak sah dan keji.

Masalah rasuah, kronisme dan nepotisme UMNO yang serius memang disedari umum. Namun kerana termakan propaganda bahawa hanya UMNO penyelamat Melayu, kebanyakan pengundi Melayu mengambil sikap tidak acuh terhadap masalah rasuah dan penyelewengan, walau pun rakyat sendiri sengsara akibat kesan korupsi.

Kesannya setelah lebih 50 tahun pemerintahan UMNO, budaya rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa di Malaysia. Mengikut perkiraan penulis Barry Wain, dalam zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, dianggarkan RM100 bilion lesap dari dana kerajaan melalui susutan nilai kewangan akibat dasar kewangan yang tidak telus dan spekulasi pasaran berlebihan.2

Juga mengikut laporan sebuah badan pemantau rasuah antarabangsa, Tranparency International (TI), dianggarkan Malaysia ketirisan sekitar RM10 bilion atau di antara 1 dan 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) akibat amalan rasuah.3

Pada tahun 1995 TI telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara keenam di Asia paling kurang amalan rasuahnya. Tetapi sejak itu kedudukan Malaysia terus jatuh; pada 2009 ia menduduki tahap ke-11, iaitu gejala rasuah semakin menjadi-jadi di negara ini.

Petanda-petanda kepincangan UMNO-BN

Petanda-petanda kepincangan pentadbiran UMNO-BN sudah mula kelihatan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada tahun lalu telah menyatakan Malaysia mungkin akan muflis pada tahun 2019 sekiranya tidak atau lambat melaksanakan pembaharuan ekonomi.

Hutang kerajaan persekutuan kini telah mencecah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada KDNK. Lebih daripada 40 peratus hasil kerajaan pusat sekarang diperolehi dari cukai petroleum dan gas serta bayaran dividen Petronas, berbanding dengan 21 peratus pada tahun tahun 2003.4

Sumber hasil petroleum dan gas merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Satu hari ini telaga minyak dan sumber gas akan kering juga.

Kebergantungan kerajaan persekutuan yang keterlaluan kepada sumber hasilpetroleum ditambah pula dengan perbelanjaan pengurusannya yang tinggi, yang hampir sama dengan jumlah hasilnya, adalah merbahaya untuk masa depan negara.

Apabila rizab sumber petroleum Malaysia yang dijangka akan menyusut secara mendadak pada akhir dekad ini berkurangan, sumber hasil kerajaan yang berkurangan tidak akan cukup menampung perbelanjaan boros kerajaan UMNO-BN ini.

Pada masa itu kelak susahlah untuk kerajaan menampung dan membantu penduduk miskin Malaysia, yang kebanyakannya masih orang Melayu.

Sebagai tunjang dan penentu masa depan politik Malaysia, apakah respon orang Melayu kepada segala berita buruk ini? Apakah orang Melayu masih percaya dengan mitos ciptaan UMNO bahawa agama, bangsa dan negara akan hancur tanpa UMNO? – Roketkini.com

Catatan

1. World Bank Report, Malaysia Economic Monitor: Brain Drain

2. Barry Wain, Malaysian Maverick – Mahathir Mohamad in Turbulent Times

3. Transparency International, Global Corruption Report 2009.

4. Teh Chi Chang, The Budget: How The Government Is Spending Our Money

No comments

Powered by Blogger.