A Kadir Jasin: Susah Kalau Nasihat Ulama Pun Tak Dengar



A Kadir Jasin



RAMAI pembahas beranggapan saya rapat dengan pemerintah sampai boleh jumpa dan bagi nasihat pada bila-bila masa.

Tak betul, lebih-lebih lagi selepas saya berhenti daripada menjadi Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press pada tahun 2000 dan menulis atau bercakap dengan agak kritikal mengenainya.

Saya tidak peduli dengan layanan itu, cuma kalau ada peluang dan kalau boleh bantu, saya nak bantu. Tapi kalau mereka tak mahu, tak apa. Saya tulis dan saya cakap.

Kalau nasihat atau pandangan saya tidak dipedulikan, itu tak menghairankan, tapi bila nasihat ulama terkemuka macam Mufti Perak, Harussani Zakaria (Tan Sri) pun mereka tak endah, susah sikit nak cakap.

Pada 24 Ogos dalam satu forum agama anjuran akhbar Sinar Harian, beliau berkata beliau menemui Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dan menasihati beliau mengenai demi perlunya langkah diambil bagi menangani isu perpecahan orang Melayu, dan mendakwa masalah itu meruncing kerana kepemimpinan yang lemah.

Hari ini, 25 Ogos, Harussani jelaskan yang beliau hanya memberi nasihat kepada Mohd Najib agar menyatukan kembali orang Melayu dan langkahnya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, termasuk dalam Umno.

Katanya, teguran terhadap pentadbiran Mohd Najib berhubung perpecahan orang Melayu dibuat berdasarkan realiti dan persekitaran politik semasa.

Saya rasa saya faham sentimen Harussani dan saya rasa Ramai orang Melayu berpendirian yang sama. Tetapi untuk berlaku adil kepada Mohd Najib, kelemahan dan perpecahan bermula selebum zaman beliau iaitu pada waktu Abdullah Ahmad Badawi (Tun) menjadi Perdana Menteri.

Harussani dipetik oleh Malaysian Insider sebagai berkata: “Saya kata (kepada Najib) yang perpecahan di kalangan orang Melayu disebabkan oleh kerajaan yang lemah, rasuah dan kurang kepercayaan.”

Kalau itu betul apa yang beliau katakan, saya berterima kasih kepada beliau dan bersyukur kerana ada ulama kita ikhlas menjalankan tanggungjawab dan berani berterus terang. Alhamdulillah beliau juga ada akses kepada Perdana Menteri.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, perpecahan orang Melayu berlaku apabila Dr Mahathir Mohamad (Tun), sebagai Perdana Menteri, menyingkirkan timbalannya Anwar Ibrahim (Datuk Seri).

Kata Harussani, beliau menasihatkan Dr Mahathir supaya jangan terus singkir Anwar, sebaliknya menurunkan pangkat beliau kerana Anwar ada sokongan di kalangan orang Melayu. Tapi, kata beliau, nasihatnya yang lain ditunaikan oleh Dr Mahathir.

Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Abdul Razak Hussein (Tun). Kata Harussani, Tun Razak menyelesaikan banyak masalah yang beliau adukan termasuk 14 kuil Hindu yang guna nama Melayu dan perarakan Hindu melalui kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang.

Harussani berkata beliau berpendapat menggabungkan perayaan agama-agama lain dengan perayaan Islam adalah syirik.

Katanya beliau cuba menemui Abdullah ketika beliau menjadi Perdana Menteri tetapi gagal dan tidak ada apa-apa yang dilakukan mengenai perkara itu. Saya pun tak setuju digabungkan Aidilfitri dengan perayaan agama lain.

Nampaknya, inilah masalah dengan kepimpinan politik Melayu hari ini. Ia tidak lagi mahu mendengar nasihat, maklum balas dan keluh kesah orang Melayu dan umat Islam.

Semua parti politik Melayu atau yang dipimpin oleh orang Melayu kemaruk sokongan minoriti sehingga orang Melayu berasa terpinggir dan terancam.

Rasa-rasanya pemimpin politik hari ini berasa mereka sudah begitu pandai kerana belajar di universiti dan tak perlu lagi dengar nasihat atau pendapat orang tua-tua, orang agama dan orang berilmu. Atau mereka takut kalau-kalau yang akan dinasihatkan itu tak sedap didengar.

Mereka berasa ilmu dan kedudukan mereka sudah cukup kuat kerana ditokok tambah dan disokong pula oleh kuasa politik dan duit. Maka mereka pagarkan diri mereka dengan barisan Setiausaha Politik, pegawai khas, pegawai media, penasihat, perunding, ahli keluarga dan suku-sakat yang kerana duit dan kuasa, akan menceritakan yang baik-baik sahaja kepada mereka.

Tapi, kita jangan putus asa. Kita bukan macam dulu lagi kena bergantung kepada media arus perdana. Hari ini kita ada macam-macam saluran komunikasi untuk mencari maklumat dan berbincang.

Kalau pembesar politik kita, tak kira daripada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, tak peduli suara kita, kita berbincang sesama sendiri, kita buat kesimpulan dan kita tunjukkan melalui peti undi, Insya-Allah.

No comments

Powered by Blogger.