Selepas Bersih, Pemuda Umno-Pakatan ganding tuntut reformasi pilihan raya

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


PUTRAJAYA, 28 Julai — Tiga minggu selepas Himpunan Bersih 2.0, Pemuda Umno menyeru Pakatan Rakyat agar bekerjasama mendesak pembaharuan sistem pilihan raya dengan mengatakan kedua-dua parti perikatan itu mahu melihat transformasi sistem itu.

Datuk Zaki Zahid, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Putrajaya, memberitahu malam tadi semasa dialog umum dengan pemimpin PKR Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Umno juga mahukan pembaharuan sistem pilihan raya dilakukan dengan betul tetapi menegaskan, ia bolah dibuat melalui dialog awam dan debat bukan “demonstrasi jalanan.”

“Pemuda Umno juga mahukan daftar pemilih dibersihkan, kami bersetuju bahawa sistem dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dikaji, tapi kita boleh lakukan tanpa demonstrasi jalanan.

“Kita ada persamaan . . . mari bekerjasama, kita dalam satu haluan,” katanya.

Sementara itu Nik Nazmi yang merupakan Pengarah Komunikasi PKR membalas dengan menekankan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mewakili 62 badan bukan kerajaan (NGO) tidak mempunyai niat menjatuhkan pentadbiran Najib, cuma mahukan transformasi sistem pilihan raya dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia ini berkata, Bersih 2.0 telah menemui kerajaan dan SPR “banyak kali” sebelum 9 Julai, namun tiada usaha proaktif yang diambil.

“Saya rasa itu yang menyebabkan Bersih 2.0 turun ke jalanan, untuk meneruskan tekanan agar transformasi pilihan raya dilakukan,” katanya.

Beliau menambah, tindakan kerajaan menggunakan polis untuk menahan peserta Himpunan Bersih 2.0 serta menapis laporan media arus perdana — tidak memberi Barisan Nasional (BN) imej yang baik di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Sebuah kerajaan yang kuat adalah kerajaan yang tidak takut kepada demokrasi.

“Saya rasa kebimbangannya di sini adalah di mana anda mempunyai dua pasukan dalam satu padang tetapi tiada persaingan yang sama dan anda meragui pengadil (ketelusan),” katanya.

Zaki bagaimanapun menegaskan Umno tidak gentar untuk bersaing dalam pilihan raya yang adil.

“Umno tidak pernah takut dengan pilihan raya dan kami boleh menerima keputusan pilihan raya dengan hati yang terbuka,” katanya.

Zaki dan Nik Nazmi juga bersetuju supaya lebih banyak forum dan dialog terbuka diadakan untuk memberikan penjelasan kepada rakyat.

BN dilihat terpaksa bersikap mempertahankan diri mengenai Himpunan Bersih 2.0 sejak seminggu lalu kerana masyarakat antarabangsa dari Singapura dan United Kingdom mengkritik cara kerajaan menangani perkara itu.

Bersih 2.0 mendakwa 50,000 rakyat telah menyertai perhimpunan pada 9 Julai walaupun dihalang polis yang hanya menganggarkan 6,000 orang yang berada di ibu negara.

Perhimpunan yang turut disokong Pakatan Rakyat itu menjadi huru-hara apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air terhadap ribuan peserta yang menyaksikan hampir 1,700 ditahan, ramai yang cedera dan satu kematian — Baharuddin Ahmad, seorang ahli PAS.

Kerajaan telah berjanji akan menyiasat tuduhan tentang keganasan polis manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia juga akan mengadakan satu siasatan awam bulan depan.

No comments

Powered by Blogger.