Sambutan tahanan EO6, Dr Jeya diserbu rakyat di KLSCAH

(Ahmad Fadli)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar menjadi bekas tahanan Ordinan Darurat, pertama tiba di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) dengan kenderaan yang dipandu peguam, Edmund Bon, kira-kira jam 8.15 malam.

Jeyakumar diserbu ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang memeluknya, diiringi laungan ‘Hidup-hidup, Hidup Rakyat’ sebelum pemimpin itu membuat ucapan ringkas, mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membela nasib mereka selama ini.

“Terima kasih semua. Jika tidak kerana anda semua, kami masih di dalam. Ini kuasa rakyat. Bukan kerana polis yang membebaskan kami,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar turut menyambut pembebasan EO6 dan menyeru hadirin supaya meneruskan perjuangan untuk menghapuskan Ordinan Darurat.

“Kita perlu pastikan institusi dalam negara tidak blagi diperkotak-katikkan oleh kerajaaan yang mahu memerintah selama-lamanya,” kata Nurul Izzah.

Turut ada di KLSCAH adalah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat.

Menjelang jam 9 malam, semua bekas tahanan EO6 tiba di KLSCAH dengan riak wajah penuh semangat manakala auditorium KLSCAH tidak mampu menampung bilangan penyokong yang kian membanjiri dewan itu.

Sejak jam 7.45 malam, KLSCAH dipenuhi kira-kira 50 orang yang menunggu enam pimpinan PSM atau EO6 yang baru dibebaskan dari tahanan sekitar jam 5.30 petang tadi.

Mereka dibebaskan di balai polis Jinjang dan dijadual ke KLSCAH yang mulanya dijadual sebagai lokasi program nyalaan lilin sebagai desakan kepada pimpinan Datuk Seri Najib Razak supaya membebaskan mereka.

Ia berikutan mereka ditahan tanpa bicara selama 28 hari ini – tak ubah seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pembebasan mereka hasil desakan rakyat pelbagai lapisan yang menyelar tindakan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) lantaran terus mengguna pakai ordinan yang terang-terangan melanggar hak asasi manusia.

Setiap hari sejak penahanan EO6, acara nyalaan lilin dijalankan di pintu masuk di lokasi tertentu termasuk pintu depan Bukit Aman manakala Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar melancarkan mogok lapar semalam sebagai protes terhadap penahanan tidak sah itu.

No comments

Powered by Blogger.