Rakyat Mahu Tahu Kenapa Najib Halau Peguam Perancis Datang Ke Malaysia?

Putrajaya usir peguam kes Scorpene, Pakatan pula bangkit kontrak pertahanan RM16 bilion

Oleh Shannon Teoh

PETALING JAYA, 23 Julai — Pakatan Rakyat ‘disambar’ dengan tindakan Putrajaya menghantar balik peguam Perancis William Bourdon yang mengendalikan kes berkaitan skandal pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion, tetapi pembangkang terus menyerang dengan isu baru.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memberitahu khalayak sekitar 500 orang di sini malam tadi bahawa tindakan menghantar pulang peguam itu menunjukkan pentadbiran Najib masih mahu menyembunyikan fakta mengenai urusan pembelian kapal selam.

“Kita tahu polis Perancis sudah memperoleh sejumlah banyak dokumen penting, mengaitkan (Datuk Seri) Najib Razak, perdana menteri kita yang dicintai. Sebab itu tindakan-tindakan tidak munasabah diambil hari ini (semalam),” kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, tindakan Malaysia menghantar balik Bourdon dengan cara tidak hormat telah membantu memperkukukan usaha pihaknya dalam isu skandal pembelian kapal selam.

Peguam itu ditahan ketika tiba di Sepang dalam perjalanan dari Pulau Pinang pagi semalam.

Malah, Nurul Izzah berkata, tindakan ke atas Bourdon dan kekerasan Barisan Nasional ke atas perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bebas dan adil menimbulkan persoalan mengenai pembaharuan politik dan ekonomi yang dijanjikan oleh Najib.

Pada majlis yang sama, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menghabiskan kira-kira 20 minit untuk menggambarkan mengenai urusan pembelian kelengkapan pertahanan sepanjang tiga tahun lalu, berjumlah RM16 bilion — jauh lebih besar berbanding perbelanjaan negara-negara lain.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini memberitahu, ia termasuklah RM2.3 bilion untuk membeli 12 unit helikopter Eurocopter EC725, RM6 bilion untuk memiliki kapal rondaan luar pesisir pantai (OPV) dan RM7.8 bilion untuk mendapatkan 257 kereta perisai.

Tony Pua. — Foto Choo Choy May
Kata beliau, persoalan mengenai aspek itu sama ada di media atau Parlimen kekal dengan jawapan ia sebagai “satu rahsia” besar.

Menurut Pua, Brazil membeli Eurocopter hanya pada harga RM82 juta seunit berbanding Malaysia membelanjakan RM190 juta bagi setiap unit manakala New Zealand hanya membayar RM240 juta setiap unit OPV berbanding RM1 bilion oleh Malaysia.

Pua juga berkata sebanyak 257 kereta perisai dibekalkan oleh konglomerat tempatan DRB-HICOM yang hanya membeli daripada sebuah firma Turki hanya pada harga RM1.9 bilion, kira-kira satu perempat yang perlu diperuntukkan oleh pembayar cukai Malaysia.

Pembelian dua kapal selam dari syarikat Perancis DCNS pada 2002 dibuat ketika Najib menerajui Kementerian Pertahanan dan sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan beliau, dilaporkan menerima komisen lebih RM500 juta atas urusan tersebut.

Parti-parti politik pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia juga mengaitkan kematian wanita Mongolia Altantuya Shariibuu pada 2006 dengan isu tersebut.

Kelmarin, Bourdon berucap di Pulau Pinang pada majlis anjuran Suaram untuk mengumpul dana bagi kes mereka berkaitan skandal kapal selam Scorpene dan sepatutnya berucap di sini malam tadi.

Pada Disember 2009, Suaram memfailkan aduan di mahkamah Perancis meminta kebenaran akses ke atas maklumat berkaitan dengan kontrak yang ditandatangani oleh syarikat Abdul Razak, Perimekar Sdn Bhd dan maklumat-maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.

Mahkamah Perancis menerima permintaan itu untuk menyoal siasat dakwaan membayar sogokan RM500 juta oleh DCNS kepada Perimekar.

No comments

Powered by Blogger.