Polis: Saya tidak sembunyi, sedia kerjasama – Shuhardi

KUALA LUMPUR: Individu yang dikatakan menyamar sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad, peserta Bersih yang meninggal dunia pada 9 Julai lalu, hari ini tampil menafikan beliau bersembunyi dan enggan bekerjasama dengan polis.

Shuhardi Md. Isa, berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang surat rasmi memintanya menghadirkan diri bagi membantu siasatan dari mana-mana balai polis.

“Saya tidak bersembunyi, datanglah ke rumah saya dengan tertib. Saya akan bekerjasama dengan mereka (polis).

“Saya masih hidup… yang meninggal Allahyarham Baharudin. Blogger-blogger meminta maaf dan mengeluarkan gambar saya, saya ingat sudah selesai,” katanya.

Katanya, tindakan untuk menampilkan dirinya di sidang media hari ini ekoran kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang mendakwa beliau menyembunyikan diri.

“Tapi semalam bila saya lihat komen Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata saya dipercayai menyembunyikan diri, saya terpaksa mendedahkan perkara ini.

“Saya yakin pihak polis mampu membuat siasatan berdasarkan maklumat dalam internet tanpa perlu melibatkan saya. Saya rasa sepatutnya saya yang menyaman mereka (blogger) yang salah dengan mengaitkan nama saya itu,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) memberitahu bahawa beliau tidak bersubahat dengan mana-mana pihak dan tidak pernah mengenali Allahyarham Baharudin.

“Saya tidak kenal dengan mana-mana wartawan atau jurugambar yang datang buat liputan.Saya bukanlah “desperate” untuk dapatkan sogokan yang tidak bermaruah kerana Alhamdulillah saya hidup mewah,” ujarnya.

Suhardi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama dengan pihak polis dan boleh dihubungi di talian 012-3900740.

No comments

Powered by Blogger.