Peruntukkan Dikeluarkan Untuk Semua Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan

Kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukkan untuk pembangunan kepada semua daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lama lagi tetapi setiap projek perlu disenaraikan mengikut kepentingan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Pegawai Daerah dan Datuk Bandar serta Yang Dipertua PBT mesti tahu nilai kos sebenar bagi setiap projek yang disenaraikan supaya tidak berlaku pembaziran dan menggunakan kos minima.

Beliau berkata, Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) yang mempunyai aset berjumlah RM800 juta akan menyalurkan sebahagian dari dana untuk pembangunan ini.

Menteri Besar berkata, semua pejabat tanah dan daerah serta PBT diarahkan supaya menyelenggara dengan baik semua aset milik negeri terutama yang melibatkan tanah.

Beliau berkata, ini bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai harta untuk meneruskan pembangunan dan pembinaan infrastruktur untuk keselesaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan semua pejabat tanah dan daerah serta PBT melantik pegawai yang bertanggungjawab memantau, melawat dan mengemas kini semua tanah-tanah kerajaan negeri.

Beliau berkata, langkah ini untuk mengelak kerajaan negeri menanggung kerugian apabila terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada pihak tertentu yang menduduki tanah milik kerajaan negeri secara haram.

Beliau berkata, kaedah merekodkan semua aset milik kerajaan negeri khususnya tanah dalam fail tidak lagi pratikal diamalkan kerana berlaku perubahan persekitaran yang menyebabkan tanah-tanah kerajaan negeri diceroboh.

"Negeri Selangor memerlukan dana untuk menjana pembangunan tetapi pada masa yang sama kita juga perlu menyelenggara dengan baik harta milik kita supaya kita mempunyai dana untuk meneruskan pembangunan," katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika menutup Program Temu Rapat bersama Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT, pentadbir tanah dan daerah seluruh Selangor di Genting Highland yang berakhir hari ini.

Program dua hari ini bertujuan mempertingkatkan persefahaman dan kerja sama antara pembuat dasar dan anggota pelaksana di peringkat daerah serta PBT selain memastikan dasar kerajaan negeri difahami serta dilaksanakan dengan berkesan.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO' MENTERI BESAR

No comments

Powered by Blogger.