NSTP selesaikan saman fitnah Lim 'luar mahkmah'

Hafiz Yatim

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini bersetuju membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan New Straits Times Press (M) Bhd berhubung saman fitnahnya yang mendakwa akhbar itu salah memetiknya pada pilihan raya kecil Galas yang lalu.

Bagaimanapun jumlah pampasan yang dipersetujui tidak dinyatakan.

Perkara itu didedahkan oleh peguam Lim, Sangeet Kaur setelah perjumpaan dengan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.


"Pihak-pihak berkenaan diminta hadir semula pada 17 Ogos bagi merakamkan kenyataan dan syarat-syarat yang dipersetujui,” kata hakim.

"Berikutan kenyataan yang dirakamkan itu nanti, saman berkenaan akan ditarik balik.”

NSTP diwakili oleh peguam Liew Teck Huat.

Lim pada November tahun lalu menfailkan saman fitnah terhadap NSTP kerana mendakwa ia menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 November lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyiarkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh Umno kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian.

Menurutnya, artikel itu antara lain melaporkan bahawa beliau telah berucap di satu ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di Kelantan, di mana beliau telah menuduh orang Melayu Umno kafir.

Katanya artikel itu membawa maksud beliau adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan saling benci-membenci di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Lim berkata penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos.

Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

No comments

Powered by Blogger.