Najib kata beliau jelaskan PM UK niat sebenar Bersih

SEPANG, 22 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah menjelaskan kepada rakan sejawatannya di Britain, David Cameron mengenai niat sebenar perhimpunan anjuran Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lepas, semasa beliau melakukan lawatan rasmi empat hari ke United Kingdom baru-baru ini.

Dalam pertemuan di No. 10 Downing Street Khamis lalu, Najib berkata Cameron banyak bertanyakan soalan kepada beliau termasuklah berkaitan perhimpunan itu ketika lawatan itu berlangsung.

“Saya beritahu kepada Perdana Menteri United Kingdom (that we have room for dissent) (kami memberi ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati) di Malaysia,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib berkata sebagai kerajaan, soal ketenteraman awam harus dijaga dan pada masa sama memberi ruang untuk melahirkan rasa tidak puas hati.

“Saya beritahu beliau kita tawar sebuah stadium tetapi mereka tolak. Mereka mahu Stadium Merdeka kerana tujuannya hanya mahu berarak. Selepas itu lakukan provokasi terhadap polis. Biar polis naik berang. Apabila polis bertindak, mereka ambil gambar masuk laman YouTube dan mereka katakan kekejaman polis,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata Cameron juga dimaklumkan bahawa perhimpunan oleh Bersih 2.0 bukanlah sebenarnya bertujuan menuntut “pembaharuan pilihan raya”.

“Mereka lebih ingin tunjukkan kerajaan Malaysia seperti di Timur Tengah. Mereka gambarkan kerajaan Malaysia autokratik. Sebenarnya mereka hendak ambil kuasa daripada kita (kerajaan) yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Britain itu turut diberitahu kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang sentiasa menegakkan prinsip demokrasi.

“Saya kata pilihan raya di Malaysia, kita tidak pernah menipu. Pilihan raya di Malaysia adalah pilihan raya yang bersih,” kata Najib.

No comments

Powered by Blogger.