Isu Pelantikan YDP Majlis Perbandaran SP, MB Kedah Pejam Mata?

SUNGAI PETANI – Tiga Ahli Parlimen dari kawasan Sungai Petani, Merbok dan Jerai memohon Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuat penilaian semula keputusan mengekalkan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Rozaina Datuk Radzi.

Tiga Ahli Parlimen berkenaan termasuk Datuk Johari Abdul (Sungai Petani), Datuk Rashid Din (Merbok) dan Mohd Firdaus Jaafar (Jerai) memohon pertimbangan Menteri Besar supaya membuat penilaian semula terhadap YDP yang menerima bantahan majoriti Ahli Majlis.

Johari berkata, beliau yakin Menteri Besar tidak diberi maklumat tepat berhubung tindakan 17 Ahli Majlis yang memboikot YDP atas sebab tertentu yang telah disenaraikan melalui memorandum mengandungi 10 sebab mengapa YDP perlu ditukar yang dihantar 30 Mei lalu.

“Kami mahukan MB buat penilaian semula apa yang terkandung dalam memorandum di mana Ahli Majlis mahukan YDP ditukarkan jika tidak 17 Ahli Majlis tidak akan menghadiri mesyuarat sekiranya YDP sedia ada masih menjawat jawatan,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, tindakan YDP yang tidak pernah berunding permasalahan yang berlaku adalah tidak patut kerana langsung tiada memberi peluang wakil rakyat bertemu dengannya walaupun ingin membuat temu janji beberapa kali.

Selain itu, Mohd Firdaus berkata, perkara yang dinyatakan dalam memorandum adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang mengatur perjalanan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana Bandar Sungai Petani adalah bandar contoh yang pesat membangun dengan pelbagai aktiviti.

“Sekiranya YDP dibiarkan dengan keputusannya, manakala Ahli Majlis tidak juga masuk ke mesyuarat, masalah rakyat terus-terusan tidak dapat diselesaikan dan pelaksanaan beberapa agenda juga akan terganggu.

“Rakyat terbeban dengan pelbagai masalah, tiada tempat mengadu dan akhirnya masalah berhubung soal sampah, jalan berlubang, longkang bocor dan sebagainya tergendala.

“Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan dan mahukan setiap Ahli Majlis kembali bertugas seperti biasa namun permintaan Ahli Majlis yang mahukan YDP ditukarkan perlu dilaksanakan terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu, Rashid menjelaskan, memorandum itu menunjukkan kewibawaan YDP yang lemah selain terkilan dengan sikap pemimpin tersebut yang seolah-olah tidak prihatin dengan masalah berkenaan.

Beliau mengharapkan Kerajaan Negeri mendengar dan memahami permintaan Ahli Majlis supaya mengambil langkah terbaik dalam menyelesaikan perkara berkenaan agar Ahli Majlis dapat meneruskan kembali tugas dan berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, desas-desus yang mengatakan bahawa Ahli Majlis mempunyai kepentingan mendapat tender sehingga diabaikan YDP menyebabkan mereka memboikot adalah tidak benar dan sekiranya berlaku, perkara itu boleh dipanjangkan ke siasatan terperinci berserta bukti kukuh.

“Kami tidak akan membiarkan sekiranya ada Ahli Majlis yang ada kepentingan masing-masing dan tindakan akan diambil kepada mereka sekiranya didapati bersalah,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.