Enam pemimpin PSM ditahan bawah Ordinan Darurat bebas

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Kesemua enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput yang ditahan sejak awal bulan di bawah Ordinan Darurat telah dibebaskan petang ini.

Peguam N Surendran mengesahkan perkara itu dan kertas berkaitan sedang diproses di Balai Polis Jinjang di sini.

“Ya, maklumat yang saya terima menunjukkan mereka sudah dibebaskan,” kata peguam itu.

Keenam-enam mereka dibebaskan sekitar pukul 5.30 petang tadi.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, perkara itu turut disahkan oleh adiknya Ahli Parlimen Dr Michael Jeyakumar, Xavier Jeyakumar yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

“Ya, isterinya ada bercakap dengan saya. Kami sedang cuba mengesahkan butiran sekarang,” kata beliau.

Laporan The Star memetik Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata mereka telah dibebaskan dan tindakan susulan akan ditentukan oleh Peguam Negara.

Semalam, Ismail berkata mereka masih disiasat di bawah Ordinan Darurat. Awalnya mereka disiasat atas alasan cuba mengadakan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong selepas ditahan di Seberang Perai akhir bulan lalu.

“Kita akan membuat keputusan sewajarnya. Apa yang kita buat adalah sebahagian daripada prosedur dan proses mengikut undang-undang kita,” katanya.

Selain Dr Jeyakumar yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Siput, lima lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A P Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Mereka ditahan dua minggu sebelum perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin dalam Barisan Nasional mengenakan tekanan agar pentadbiran Najib membebaskan mereka.

Gesaan itu juga dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Kenyataan ringkas Suaram juga mengesahkan pembebasan mereka.

“Enam tahanan PSM di bawah Ordinan Darurat telah dibebaskan selepas berada dalam tahanan selama 28 hari,” kata kenyataan itu.

Memprotes tindakan pihak berkuasa menahannya, Dr Jeyakumar memulakan mogok lapar semalam.

Mengikut afidavit polis yang didedahkan peguam mereka minggu lalu, pihak berkuasa menahan mereka berhubung siasatan mendalangi perhimpunan Bersih 2.0 awal bulan ini.

Hampir 2,000 orang ditahan menjelang dan ketika perhimpunan Bersih 2.0, tetapi telah dibebaskan.

Hanya enam mereka ini ditahan sehingga hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan keputusan membebaskan mereka diputuskan hari ini.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebelum ini ada mengatakan bahawa beliau akan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membebaskan kesemua tahanan itu.

No comments

Powered by Blogger.