SPR ketinggalan jauh berbanding sistem pilihan raya di Turki

SHAH ALAM: KEADILAN bakal mengulangi kejayaan Parti Pembangunan Keadilan (AKP) pimpinan Recep Tayyip Erdogan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan pilihan raya secara adil di Malaysia.

Malah, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail menganggap antara faktor kejayaan AKP ialah sistem pilihan raya di Turki, telus dan adil.

Katanya, pilihan raya di negara itu memberi akses media sama rata kepada semua parti bertanding termasuk membenar pembentangan manifesto di televisyen.

Berucap di Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN di sini,petang semalam, beliau berkata, senario itu jauh berbeza dengan pengendalian SPR yang hanya memihak kepada Umno BN.

“Tiada undi pos di Turki, polis undi di tempat mengundi. Rakyat di luar negara diberi tempoh sebulan untuk pulang mengundi di sempadan. Tempoh kempen dua bulan tapi kita pula hanya sembilan hari,” katanya.

Kata Saifuddin, ia memberi ruang kepada rakyat untuk memahami dasar setiap parti dan menifesto yang mahu dilaksanakan jika menang.

Malah, katanya, Election Board di Turki menyerahkan slip mengundi kepada setiap rakyatnya tetapi ia tidak mungkin berlaku di Malaysia kerana SPR tiada alamat pengundi yang betul.

“Bolehkan SPR buat begitu? Tidak mungkin… Alamat pengundi pun banyak yang salah dan mencurigakan,” katanya.

Beliau mengetuai pimpinan KEADILAN sebagai pemerhati pilihan raya Turki yang turut disertai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.