Video seks: Anwar pula saman balas Hishammuddin

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR, 25 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengemukakan saman balas fitnah ke atas Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang menyamannya berhubung isu berkaitan rakaman video seks didedahkan “Datuk T”.

Justeru, Anwar menuntut sejumlah kerugian daripada Hishammuddin atas kenyataan fitnah yang dikaitkan dengan saman Menteri Dalam Negeri itu.

“Kami telah memfailkan (tuntutan) bela atas tuntutan Hishammuddin dan juga memfailkan tuntutan balas ke atas saman fitnahnya.

“Pokoknya, fitnah berkaitan dengan apa yang dikatakan oleh beliau (Hishammuddin) ketika sidang media di Bukit Aman pada 21 Mac,” kata peguam Anwar K. Shanmuga kepada The Malaysian Insider.

Pada 1 Mei lalu, Hishammuddin berkata, beliau akan meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkannya dengan video seks yang pelakunya mirip Ketua Pembangkang itu.

Beliau berkata, dakwaan Anwar itu perlu dijawab di mahkamah supaya masyarakat tahu kedudukan sebenar isu terbabit.

“Kita bawa ke mahkamah kerana kalau tidak, apa yang disebar melalui media dan internet orang akan percaya kerana kita tidak jawab,” katanya.

Naib Presiden Umno ini berkata, tindakan Ketua Umum PKR mengaitkan beliau dengan video seks terbabit semata-mata untuk mengalihkan perhatian masyarakat.

“Itu strategi... dia (Anwar) tidak boleh jawab soalan wartawan, dia alih pandangan kepada orang lain. Kita tidak berdosa, kenapa hendak takut,” katanya.

Akhir Mac lalu, Hishammudin melantik peguam Tan Sri Cecil Abraham bagi mewakili beliau dalam memfailkan saman terhadap Anwar.

Anwar dalam laporan beberapa akhbar sebelum ini menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video kononnya aksi beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hotel di ibu negara 21 Mac lalu.

Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan pembabitan mereka dalam rakaman berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.