Taksubnya Nik Aziz pertahan Anwar — Zulkiflee Bakar

30 MEI — Mentri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi tampil sebagai “wira” untuk membela Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaru di Sungai Buloh, kelmarin, Nik Abdul Aziz yang berucap di satu majlis menasihatkan pihak yang dianggap memfitnah Anwar tampil memohon maaf.

“Dosa orang yang buat fitnah tidak akan merasa nikmat kubur apatah lagi hendak masuk syurga melainkan kena minta maaf dengan Anwar, itupun kalau Anwar bagi.”

Malahan Nik Abdul Aziz juga berhujah bahawa, kredibiliti Anwar sebagai pemimpin berlandaskan syiar Islam adalah faktor kemaraan politiknya disekat kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) yang khuatir kehilangan kuasa.

Demikianlah hebatnya “ketaksuban” Nik Abdul Aziz mempertahankan Anwar. Bagi Menteri Besar Kelantan itu apa pun orang kata tentang Anwar semuanya fitnah, konspirasi dan mainan politik semata-mata.

Orang seperti Nik Abdul Aziz seolah-olah tidak mahu lagi mendengar hujah pihak lain sebaliknya hanya percaya kepada kata-kata Anwar sahaja.

Persoalannya sejak bila pula, Nik Abdul Aziz begitu mengambil berat soal fitnah ini, apakah hanya kerana melibatkan Anwar atau mana-mana pemimpin pembangkang, ia dianggap fitnah tetapi kalau melibatkan pemimpin Umno atau BN, itu dianggap satu kebenaran?

Kenapa Nik Abdul Aziz tidak bersuara apabila pelbagai fitnah dilemparkan oleh pembangkang termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana tindakan yang sama pernah dilakukan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Begitu juga dengan pelbagai tuduhan pembangkang kepada kerajaan BN dan pemimpin Umno yang sebahagian besarnya menjurus kepada fitnah tetapi Nik Abdul Aziz hanya senyap sahaja.

Kepentingan politik telah menguasai pemikiran Nik Abdul Aziz sehinggakan beliau hanya akan mengeluarkan hujah-hujah berlandaskan al-Quran dan hadis jika sesuatu isu itu melibatkan kepentingan pembangkang.

Kalau benar Nik Abdul Aziz begitu percaya bahawa Anwar difitnah, kenapakah beliau tidak membantu ketua pembangkang itu untuk membersihkan namanya dengan menggunakan apa juga cara?

Anwar bukannya tidak diberi ruang untuk berbuat demikian, tetapi semuanya ditolak bulat-bulat manakala Nik Abdul Aziz sendiri menolak semua hujah biarpun dari semasa ke semasa kebenaran semakin tidak menyebelahi Ketua pembangkang tersebut.

Hujah Nik Abdul Aziz bahawa Anwar seorang pemimpin berlandaskan syiar Islam juga boleh dianggap sesuatu melucukan dan hanya kenyataan politik semata-mata.

Ia disebabkan tindak tanduk Anwar selama ini termasuklah berhadapan dengan dua tuduhan liwat tidak melayakkan beliau mendapat pengiktirafan seumpama itu.

Apatah lagi Anwar sendiri lebih mengutamakan persahabatan dengan DAP berbanding PAS, sebab itulah suatu ketika Anwar secara terbuka berkata, pembangkang sepakat bahawa isu perjuangan negara Islam tiada agenda mereka.

Malahan Anwar juga baru-baru ini menyinggung perasaan PAS apabila menyatakan bahawa parti itu memahami bahawa golongan gay dan lesbian harus diberi layanan sama seperti warga lain.

Semua fakta ini tidak dinilai oleh Nik Abdul Aziz, sebaliknya beliau bermati-matian mempertahankan Anwar sehingga keadaan itu turut merimaskan sesetengah ahli-ahli PAS.

Malahan ada antara mereka pernah mengesyorkan kepada penulis supaya jangan melaporkan apa juga kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz.

Ia kerana pada pandangan mereka, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan kepada PAS.

Begitulah juga dalam isu Anwar ini, Nik Abdul Aziz seolah-olah begitu teruja membela beliau biarpun semakin ramai ahli PAS meragui keikhlasan Anwar.

Tetapi Nik Abdul Aziz seperti biasa tidak akan mempedulikan apa pandangan orang lain, selagi ada kesempatan untuk membela Anwar, maka beliau akan berbuat demikian.

Mungkin Mentri Besar Kelantan itu sendiri tidak yakin bahawa ada orang lain yang boleh memimpin pembangkang selain Anwar.

Oleh itu, beliau terus berusaha untuk memastikan kredibiliti Anwar tidak terjejas biarpun ketua pembangkang itu semakin banyak berhadapan dengan isu-isu berkaitan dengan moral.

Keadaan itu menggembirakan Anwar dan juga pemimpin pembangkang lain kerana mereka tahu apa pun yang dilakukan pasti ada seorang mursyidul am yang akan membela mereka

Kesudahannya, walaupun ada pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan sesuatu perkara termasuklah dalam isu melibatkan Anwar mereka tidak akan berkata-kata apa-apa kerana bimbang bertentangan pendapat dengan Nik Abdul Aziz.

Sebenarnya, tindakan Nik Abdul Aziz meletakkan PAS di dalam bahaya kerana jika siasatan polis selepas ini tidak memihak kepada Anwar ia boleh memberikan kesan buruk kepada politik PAS.

Ia kerana sebagai Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz membawa suara PAS, oleh itu sudah pastilah apa yang beliau katakan akan dianggap pendirian PAS.

Jika itu berlaku, PAS akan terus ditolak oleh rakyat seperti mana berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini yang jelas menunjukkan pengundi-pengundi atas pagar semakin meninggalkan PAS.

Semua itu berlaku kerana mereka melihat PAS tidak konsisten dalam mempertegaskan sesuatu isu dan ia menjadi betapa buruk apabila seolah-olah tidak ada sesiapa pun di dalam parti berkenaan yang berani menegur keterlanjuran dan tindak-tanduk Nik Abdul Aziz.

Malahan sebelum ini disebabkan tindak-tanduk Nik Abdul Aziz, ada pihak yang mendakwa kemerosotan pengaruh PAS adalah disebabkan oleh beliau.

Sememangnya kita tidak boleh menyatakan sejauh manakah dakwaan itu benar, tetapi kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz sememangnya kadang kala boleh “memudaratkan imej” PAS sebagai parti Islam.

Atas sebab itulah, ada pihak di dalam PAS sendiri yang menaruh harapan agar ada perwakilan di dalam muktamar tahunan parti itu pada Jumaat ini akan menegur secara berhemah sikap Mursyidul Am tersebut.

“Teguran bukanlah dengan bahasa yang kesat atau kasar tetapi berlapik dan berhemah. Kita mahu sampaikan mesej kepada beliau bahawa tindakan-tindakannya banyak meresahkan ahli-ahli PAS di peringkat umbi,” kata seorang ahli PAS ketika berbual-bual dengan penulis.

Kita tidak pasti sama ada perwakilan PAS mempunyai keberanian itu atau tidak, biarpun sebelum ini pemimpin mereka mendakwa perwakilan bebas bercakap apa sahaja isu.

Tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa imej PAS semakin tergugat kerana kenyataan-kenyataan Nik Abdul Aziz.

Adalah lebih baik jika Mentri Besar Kelantan itu menumpukan perhatian sebagai mursyidul am yang menasihatkan parti dalam sesuatu isu dan bukannya melakukan tindakan politik yang dilihat seolah-olah di dalam PAS ada “dua Presiden”. — Utusan Malaysia

1 comment

hussin said...

Ha ha ha, kan dah kata. Serangan bertubi2 terhadap tgna tidak akan terhenti kerana beliau adalah tembok penghalang kepada kerajaan perpaduan yang diigaukan sangat oleh umno demi kesinambungan kuasa umno untuk memelihara kepentingan golongan tertentu.

Zulkifli bakar nasihatkan supaya tgna menumpukan kepada mursyidul am bukan taksub membela anwar. Kenapa zulkifli bakar tidak pernah serang presiden pas, timbalan atau setiausaha agong? Malah sentiasa mempopularkan perpaduan umno-pas? Memberi sokongan terbuka kepada nasharudin atau tuan ibrahim, kedua2nya ok? Apa tujuan?

Jangan bimbang, pakatan rakyat sudah bersedia dengan pengganti anwar! Jangan fikir pakatan rakyat ketandusan pemimpin yang brkaliber untuk mengetuai pakatan rakyat. Apa kurang presiden pas? Tergila2 kan perpaduan menunjukkan umno tidak yakin dengan hadi? Kalau hadi jadi piem apa salahnya? Cuma bukan kerajaan bn tetapi pakatan rakyat. Apa hadi juga akan turut anwar? Bila umno ikhlas? Apa yang perlu dibimbangkan jika penasihat2 hadi semuanya mesra umno? Kita tunggu selepas pru13 yang nyata sudah di ambang pintu. Jika umno gugur di tangan pas, presiden paslah piem. Anwar, umno dah hantar sungai buluh.

Anwar ke sungai buluh, pas terus dengan kepimpinan yang disokong umno, keputusan pru12, umno kecundang. Pas dominan parti melayu akan ganti umno. Jangan hanya pentingkan senario hanya umno mengepalai kerajaan. Lagi pun bukankah pas beriya2 mahu ganti umno? Jadi apa sibuk2 perpaduan? Beri pas peluang.

Powered by Blogger.