PKR dakwa KL kekurangan guru disebabkan kos hidup tinggi

Oleh Zulaikha Zulkifli


PETALING JAYA, 26 Mei – PKR mendakwa Wilayah Persekutuan berhadapan dengan masalah kekurangan guru, seperti yang dialami Sabah, tetapi di ibu negara ia disebabkan ramai keberatan mahu mengajar ekoran kos hidup yang tinggi.

Sabah berhadapan dengan kekurangan guru disebabkan kebanyakan sekolah berada di kawasan pendalaman.

“Statistik terbaru saya tidak peroleh lagi. Tetapi berdasarkan pengalaman saya dahulu menjadi pengarah pelajaran bahagian Wilayah Persekutuan dan timbalan pengarah bahagian sekolah Malaysia, sebuah sekolah akan ada lima hingga enam orang guru sementara di Kuala Lumpur,” kata Pengerusi Biro Pendidikan PKR, Abas Awang pada sidang media hari ini.

Kata beliau, pengurusan sekolah terpaksa mengambil guru-guru sementara berikutan kekurangan guru memandangkan tidak ada guru yang hendak berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Bagi sebuah sekolah yang bagus, tiada guru sementara di sekolah tersebut,” kata beliau pada sidang media yang menyentuh isu imbuhan khas pendidikan dan kenaikan pangkat kepada guru berjawatan tinggi, yang diumumkan oleh Putrajaya baru-baru ini.

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan mengenai kenaikan pangkat dan gred guru tertentu.

Bagaimanapun ia menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pendidik kerana insentif tersebut tidak menyeluruh.

Di Kuala Lumpur, terdapat lebih 200 sekolah rendah dan menengah kebangsaan, yang diselia Kementerian Pelajaran.

Abas memberitahu, sejak dari 2007 masalah kekurangan guru sering berlaku dan ia melibatkan hampir kesemua sekolah di Kuala Lumpur.

“Saya menjadi Pengarah Pelajaran di Wilayah Persekutuan dari 2005 hingga 2007. Saya percaya dari 2007 hingga sekarang, masalah kekurangan guru ini masih wujud. Ini kerana setiap sekolah paling kurang mesti ada seorang hingga dua guru sementara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata lagi, terdapat sesetengah guru yang mendakwa dirinya jatuh miskin apabila tinggal di Kuala Lumpur, malah ada juga guru yang terpaksa mencari kerja sampingan bagi menyara kehidupan mereka.

“Kos kehidupan di Kuala Lumpur tinggi. Gaji yang sedia ada tidak mencukupi kerana mereka perlu membayar sewa rumah, kereta dan lain-lain.

“Malah, ada guru bekerja sampingan seperti berniaga, memandu teksi untuk menyara kehidupan mereka di sini. Jadi, macam mana guru-guru ini mahu memberi fokus terhadap pembelajaran dan pengajaran dalam kelas,” katanya lagi.

Beliau turut memberitahu, negeri yang sering mengalami masalah kekurangan guru ini adalah negeri yang mempunya kos hidup yang tinggi seperti Johor dan Selangor.

“Biasanya masalah kekurangan guru ini terjadi di bandar-bandar besar seperti di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur sendiri.

“Bagaimanapun, negeri yang kos kehidupannya rendah seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, ramai pula guru-gurunya di sana,” jelasnya.

Abas berkata, mungkin kos kehidupan yang rendah menjadi tarikan ramai guru ingin mengajar di negeri terbabit.

Oleh itu, Abas berkata, antara jalan penyelesaian yang boleh ditimbangkan bagi masalah kekurangan guru ialah menaikkan gaji semua guru tanpa mengira pangkat.

“Antara cadangan bagi mengatasi masalah ini ialah seperti yang ada dalam Buku Jingga iaitu menaikkan gaji guru sebanyak RM500. Selain itu, saya berpendapat keutamaan perlu diberi kepada guru lepasan diploma kerana gaji mereka tidak sama dengan guru yang mempunyai ijazah.

“Oleh itu, guru-guru ini tidak akan tergolong dalam golongan miskin jika mereka mengajar di kawasan kos hidup yang tinggi,” katanya.

Abas juga berkata, sekolah kawasan bandar bukan sahaja berhadapan dengan masalah kekurangan guru, malah isu kurang guru lelaki dan ia berkait rapat dengan masalah disiplin yang semakin tinggi.

“Kebanyakkan guru takut untuk masuk ke Kuala Lumpur. Kebanyakkan guru wanita ini mengikut suami mereka yang bekerja di Kuala Lumpur.

“Kadangkala sebuah sekolah rendah atau menengah ada dua atau tiga orang sahaja guru lelaki. Ini menyebabkan kecacatan serta ketidakseimbangan antara guru lelaki dan perempuan di sekolah,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.