Nilai Sebuah Perubahan pada Jamaah Islam

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

Perubahan adalah suatu yang bersifat sunatullah. Namun perubahan mesti dipimpin agar menepati tuntutan Amal Islami, sementara jamaah atau parti ini memperjuangkan Islam. Malah perubahan mesti didokong oleh penggeraknya [Rijaalut taghyir] yang memahami matlamat dan objektif Jamaah Islam yang didokong ini.
Sifat positif pada sebuah perubahan yang digerakkan ialah untuk menganjak prestasi dan kualiti jamaah ke suatu tahap yang lebih baik dan cemerlang.


Situasi ini agak subjektif dan memerlukan penelitian yang serius dan halus agar ia tidak diurus secara rambang dan boros tanpa mengambil kira hikmah [kebijaksanaan] dan himmah nya [kewibawaan]. Tentunya kita tidak mahu usaha merubah dan membaiki jamaah menjadi seumpama tikus membaiki labu.

3. Sebagaimana wujudnya sokong yang membawa rebah demikian juga gerakan perubahan yang tidak dipimpin dengan cahaya petunjuk Allah swt dan akhlak Islami akan membawa binasa. Pastinya kita tidak mahu ubah yang membawa rebah semata - mata kerana kegagalan mengurus perubahan dan memimpinnya dengan baik dan berkesan. Dalam erti kata lain, perubahan yang digerakkan mestilah menepati keperluan jamaah dan tuntutan ummah.

4. Jauhi elemen negatif yang bermaksud menggerak perubahan hanya pada mengalih posisi orang lain untuk menganjak posisi kita. Bahasa mudahnya ialah menjatuhkan kedudukan orang lain untuk memastikan survival pengaruh dan kedudukan kita di dalam parti yang kemudiannya dibina di atas nama gerakan perubahan kononnya. Perubahan ini tidak berlandaskan matlamat yang jelas selain memangku hasrat yang negatif [mazmumah].

5. Gerakan perubahan tidak boleh bertolak dari rasa tidak puas hati, sebaliknya ia mesti berpaksi di atas kesedaran dan keinsafan yang tinggi terhadap cita - cita perubahan tersebut serta memiliki matlamat dan objektif yang jelas, tepat dan benar. Justeru perubahan yang tidak mempunyai asas kukuh, pelan tindakan strategik dan hala tuju yang cerah lagi terang akan mencetus polemik yang merumitkan dan krisis yang menghakis kekuatan jamaah.

6. Manisnya perubahan itu digerakkan secara jamaei [kolektif] melalui keputusan bersama yang disepakati lantas digerakkan secara terancang berasaskan pelan tindakan yang diputuskan. Hindari perubahan yang dicetuskan oleh individu atau kumpulan dengan maksud ingin mempersada kumpulan mereka di atas tersadainya pihak lain. Perubahan begini akan menumbuhkan benih keretakan dan menajamkan perselisihan antara anggota jamaah tanpa menemui jalan sudahnya.

7. Sewajarnya setiap anggota jamaah mengalu - alukan gerakan Tajdid [pembaharuan], gerakan Islah [memperbaiki] dan gerakan Taghyir [perubahan] demi menempatkan jamaah pada kedudukan sesuai dengan keadaan dan zaman yang dihadapi. Malah mampu mendepani cabaran semasa dengan jaya dan berkesan. Sesuai pula dengan sifat Islam yang sangat mengalu - alukan ijtihad semasa [muaasirah] agar perlaksanaan Islam senantiasa segar dan pemafahamannya senantiasa jelas.

8. Membawa perubahan bukan untuk menyalahkan orang selain daripada kita atau menidakkan apa yang telah dilakukan oleh orang lain untuk jamaah. Perubahan juga tidak hanya terhenti pada menukar susuk tubuh pemimpin kepada pemimpin yang lain tetapi merangkumi perubahan pemikiran, budaya kerja, sikap dan sebagainya. Tiada keperluan membuat perubahan jika sekadar menukar kepada susuk tubuh pemimpin yang baru tetapi performance kerja dan tugas dengan jamaah sama atau lebih buruk dari yang sebelumnya.

9. Cerdasnya apabila perubahan yang cetuskan itu bermula dari pencetus dan penggeraknya.

Langkah pertama : tampil dengan performance atau komitmen kerja dan tugas yang baik agar kita tidak pula termasuk dari kalangan ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sebaliknya menjadi model perubahan secara praktikal. Justeru tiada erti kita gerakkan perubahan jika kita sendiri masih mengekalkan perkara yang serupa dengan yang sebelumnya.

Langkah kedua: sediakan frame perubahan secara jelas. Sekira - kira menjawab persoalan yang timbul seperti : apa yang mahu diubah ? nak ubah kemana? kenapa perlu ubah ? sasaran perubahan ? selain matlamat dan objektif perubahan itu mesti jelas, road mapnya juga mesti tidak berliku dan mengelirukan. Jangan hanya bercakap bahawa kita mahukan perubahan, kita mahukan perubahan, kita mahkan perubahan tetapi tiada persiapan dan persedian yang jitu untuk perubahan yang dimaksudkan.

Langkah ketiga : gerakkan perubahan ini mesti libatkan semua. Sekurang - kurangnya mewakili sebahagian besar anggota jamaah. Andai beberapa orang sahaja bercakap soal perubahan sedang sebahagian besar yang lain tidak menyertainya, maka agenda perubahan itu tidak berkesan malah tidakkan berhasil. Lebih malang apabila berlaku tindakan menuding jari kepada pihak lain kononnya pihak itu tidak mahu berubah dan tidak akan berjaya jika enggan berubah, apabila gerakan perubahan yang dibawa tidak mendapat sambutan.

10. Mengayuh roda perubahan mestilah cermat justeru yang mahu diubah ialah manusia yang miliki perasaan dan aqal. Berbeza untuk mengubah suatu yang bersifat jaamidat seperti kerusi meja di pejabat. Kita boleh ubah sesuka hati berapa kali dalam sehari. Tetapi untuk gerakan perubahan pada manusia dan organisasi yang didokong oleh manusia, penggerak perubahan mestilah sabar, tabah dan mempunyai hala tuju yang jelas serta mayakinkan. Saya tidak prejudis dengan gerakan perubahan namun sebagai peringatan kepada semua termasuk diri saya sendiri, jika gerakan perubahan itu hanya bermula dari rasa tidak puas hati dan pertelingkahan politik serta perselisihan pendapat, saya yakin gerakan perubahan itu hanya seperti angin pantai yang meniup secara bermusim, kadang sepoi kadang ribut namun tidak merubah apa - apa sekadar mencetus kelam kabut yang tidak berkesudahan mengganggu kedamaian di tepian pantai.

No comments

Powered by Blogger.