Hadi wajib tolak pencalonan presiden PAS

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan menjalankan Muktamar Agungnya pada bulan Jun ini. Tahun ini juga merupakan tahun pemilihan. Para perwakilan ke Muktamar Agung akan memilih saf kepimpinan PAS Pusat yang baru.

Saya merasakan bahawa kali ini tidak banyak calon-calon baru yang akan bertanding. PAS Bukit Bintang membuat sedikit kejutan dengan mencalonkan Husam Musa sebagai Presiden. Tetapi itu hanyalah satu kes terpencil. Bukan norma biasa.

Hadi Awang boleh dikatakan telah menjalankan amanah dengan sebaiknya sebagai Presiden PAS. Hadi mengambil alih tampuk kepimpinan setelah Almarhum Fadzil Noor pulang ke rahmatullah. Tanggungjawab yang dipikul oleh Hadi memang besar kerana beliau menggantikan seorang tokoh yang dihormati kawan dan lawan. Tetapi secara umumnya Hadi telah menjalankan amanah yang sewajarnya.

Tiada sesiapa boleh menafikan bahawa Hadi telah membawa PAS ke satu tahap baru dalam sejarahnya. Sepuluh tahun dahulu, siapa yang boleh menyangka bahawa PAS akan mempunyai sebuah sayap untuk mereka yang tidak mempercayai keesaan Allah dan keRasulan Muhammad? Tetapi di bawah kepimpinan Hadi, PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Memang betul masih ada unsur-unsur diskriminasi walaupun badan itu telah wujud. Ahli-ahli Dewan Himpunan masih tidak mempunyai hak yang betul-betul sama dengan ahli PAS yang beragama Islam. Tetapi kita perlu melihat isu ini dari perspektif perubahan jangka panjang.

Apabila sebuah parti Islamis membuka pintunya kepada orang bukan Islam, maka ia merupakan reformasi yang amat signifikan. Sebagai perbandingan, kita tidak mendengar langsung ura-ura MCA mahu menubuhkan satu sayap rasmi untuk orang bukan Cina. Atau MIC untuk kaum bukan India. Apatah lagi Umno untuk orang bukan Melayu.

Maka memang pasti Hadi telah berjaya membawa satu pembaikan yang amat besar terhadap PAS. Tanggungjawab seterusnya ialah untuk meneruskan lagi pembaikan yang dimulakan oleh Hadi agar pada suatu hari nanti golongan bukan Islam benar-benar mempunyai hak dan kuasa yang sama dengan semua ahli lain dalam menentukan dasar-dasar parti itu.

PAS mengambil masa lebih 50 tahun untuk tiba ke tahap ini. Maka rasanya tidak salah jika kita menunggu beberapa ketika lagi sehingga kesaksamaan yang tulin diwujudkan dalam PAS. Yang penting usaha menghapuskan diskriminasi dalam semua parti politik di Malaysia mesti terus berjalan.

Hadi juga merupakan seorang tokoh ulama yang disegani di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. Status beliau sebagai seorang ulama amat penting bagi sebuah parti yang secara tradisinya tidak begitu kuat di kawasan bandar, dan penyokongnya pula adalah dari kalangan yang agak menitik beratkan pengamalan agama. Secara tradisinya PAS mempunyai konstituen yang tersendiri dan konstituen ini lebih selesa dengan seorang pemimpin bertaraf ulama.

Saya berpeluang menyertai Hadi di beberapa pertemuan di luar Malaysia. Saya sempat melihat sendiri betapa Hadi dihormati dan dianggap sama taraf dengan ulama besar seperti Yusuf Qardhawi, Rachid Ghanoushi, Kamal Helbawy, dan ramai lagi. Malahan bekas Perdana Menteri Turki Almarhum Najmudin Erbakan juga amat menghormati Hadi.

Ringkasnya ketokohan Hadi sebagai seorang ulama memang tidak boleh dipersoal.

Seperti manusia lain, Hadi juga punyai kelemahan. PAS kalah di Terengganu semasa beliau menjadi Menteri Besar. Dalam pilihanraya Sarawak baru-baru ini pula PAS kalah semua kerusi yang ditandingi. Ada lagi beberapa contoh lain yang boleh diberi untuk menunjukkan kelemahan Hadi.

Tetapi ini lumrah manusia dan sudah pastilah Hadi tidak boleh berlepas tangan. Tetapi, dengan pelbagai kelemahan yang ada, saya tetap merasakan bahawa Hadi telah menjalankan amanah dengan yang terbaik mungkin. Tidak perlulah dibicarakan isu kelemahan ini kerana tidak ada manusia boleh lari daripadanya.

Persoalan yang yang dihadapi oleh para perwakilan ke Muktamar Agung PAS nanti bukan sama ada Hadi telah menjadi Presiden yang baik atau tidak. Ini bukan pemilihan untuk memberi anugerah perkhidmatan cemerlang.

Tetapi, persoalan sebenar ialah, adakah Hadi boleh menjadi Presiden yang baik untuk memimpin PAS dalam pilihanraya akan datang dan seterusnya ke masa hadapan?

Kebenaran mungkin pahit untuk ditelan. Hakikatnya Hadi bukanlah individu terbaik untuk terus menjadi Presiden PAS. Saya akan simpulkan dengan cara semudah mungkin kenapa saya berkata demikian. Hadi tidak mempunyai ketrampilan ataupun ketokohan untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Hadi telah mencipta imej beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat Melayu Islam. Tetapi beliau tidak dilihat sebagai seorang pemimpin untuk rakyat Malaysia secara keseluruhan.

PAS perlu berfikir bagaimana untuk memperkukuh apa yang telah dibina oleh Hadi. Parti itu perlu mula membina imej sebuah parti yang berkemampuan memimpin seluruh rakyat Malaysia, bukan memimpin orang Melayu Islam sahaja. Dan yang nyata, Hadi bukan pembawa imej “pemimpin negara”.

Mungkin ada yang berhujah bahawa ini hanya masalah persepsi. Tetapi jika sebuah parti politik tidak menyedari peri pentingnya persepsi, maka parti itu berada di padang permainan yang salah. Politik ialah sebuah pertandingan persepsi. Kejujuran dan ketokohan seseorang itu hanya bernilai jika sifat-sifat ini berjaya mempengaruhi persepsi pengundi. Jika sifat-sifat itu tidak membawa persepsi positif, maka dalam bahasa kampungnya “tak payah pun tak apa”.

PAS memang memiliki individu-individu yang boleh membawa parti itu ke satu tahap baru. Husam Musa dan Nizar Jamaluddin hanya dua nama yang biasa disebut. Sudah pasti ada tokoh lain yang juga boleh melakukannya dan perlu dipertimbangkan.

Tetapi budaya politik dalam hampir semua parti di Malaysia ini secara umumnya memberi kelebihan kepada presiden sedia ada. Jika mahu menjadi presiden sehingga mati pun biasanya boleh. Parti-parti politik kita tidak mempunyai budaya yang mana seseorang presiden mengumumkan dengan penuh bangga bahawa beliau telah membawa parti itu ke satu tahap tertentu dan telah tiba masanya untuk orang baru mengambil alih untuk membawa parti itu ke satu tahap yang lebih tinggi.

Lihat sahajalah apa yang berlaku dalam perubahan pucuk pimpinan Umno, MCA dan MIC. Semuanya terpaksa melalui era transisi yang amat menyeksakan. Dan PAS tidak terkecuali dalam budaya ini.

Hadi seharusnya menarik nafas panjang sambil menilai segala pencapaian besar beliau. Beliau boleh berbangga dengan apa yang beliau telah lakukan. Setelah itu, beliau perlu menerima hakikat bahawa telah tiba masanya untuk menyerahkan obor perjuangan kepada orang lain yang membawa PAS ke tahap yang lebih tinggi, sesuai dengan tuntutan rakyat agar PAS segera melahirkan pemimpin negara, bukan pemimpin bangsa atau pemimpin agama sahaja seperti selama ini.

Hadi pula jangan lah bermain kata-kata, kononnya tidak mahu menjadi presiden selama-lamanya dan bersedia dicabar. Bukannya beliau tidak tahu bahawa budaya parti politik di Malaysia ialah, sekiranya presiden tidak menolak pencalonan, maka tidak ada harapan perubahan akan berlaku.

Tidak ada gunanya bermain kata-kata kerana ia akan menyebabkan seorang presiden yang telah berjaya membawa pelbagai pembaikan akhirnya dilihat sebagai tunggul yang menghalang pembaharuan.

Jika Hadi boleh menyedari hakikat itu, maka parti dan negara akan mengingati beliau sebagai seorang tokoh ulung yang amat ikhlas berjuang sehingga rela mengorbankan jawatan dan kepentingan diri demi membuka laluan agar PAS menjadi sebuah parti nasional yang benar-benar diyakini mampu memimpin sebuah negara berbilang kaum.

Demi memastikan PAS boleh terus mara ke hadapan, Hadi wajib segera mengumumkan bahawa beliau tidak mahu mempertahankan jawatan Presiden dan menolak semua pencalonan. Hanya dengan cara itu sahaja akan berlaku pertandingan sihat yang akan membolehkan wujudnya sebuah PAS baru.

No comments

Powered by Blogger.