BN amal dasar Apartheid, patut didakwa di mahkamah- Surendran

KUALA LUMPUR: Parti komponen dalam BN seperti Umno-MCA-MIC sepatutnya didakwa mahkamah kerana mengamalkan dasar perkauman, kata Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran.

Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh DAP melaksanakan politik perkauman, yang disifatkan beliau sebagai ‘sesuatu yang mengejutkan’.

“Di kebanyakan negara bertamadun seluruh dunia, Umno-MCA-MIC akan didakwa mahkamah kerana mempunyai kriteria keahlian yang mendiskriminasi atas dasar kaum. Parti-parti politik satu kaum ini yang membentuk kerajaan pusat di Malaysia adalah sesuatu yang amat memalukan negara kita.

“Ia merupakan titik hitam yang amat besar dalam sejarah negara kita setelah Merdeka.

“Ini adalah suatu kenyataan yang mengejutkan apabila datang daripada bekas pemimpin gabungan politik pemerintah yang terdiri daripada parti-parti politik yang eksklusif kepada satu kaum,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Kata Surendran, tiada negara yang membenarkan wujudnya parti perkauman selain dasar Apartheid, yang pernah diamalkan di Afrika Selatan satu masa dahulu.

“Adalah sukar bagi kita menamakan mana-mana negara lain di dunia yang membenarkan kewujudan parti perkauman seperti di sini. Hanya satu contoh iaitu National Party di Afrika Selatan yang eksklusif kepada kulit putih dan yang mengamalkan apartheid, menindas rakyat berkulit hitam dan menjadi sampah masyarakat dunia,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangannya apabila kerajaan sendiri memupuk dan menyokong parti perkauman yang secara tidak langsung memberi kesan kepada generasi muda.

“Apa yang paling membimbangkan adalah kerajaan bukan sahaja membenarkan parti seperti ini wujud, tetapi memelihara, memupuk dan menyokongnya. Ini adalah disebabkan kerajaan sendiri adalah manifestasi organisasi eksklusif kaum ini.

“Soal pokoknya, bagaimana kita dapat menjelaskan kepada anak-anak negara ini kenapa sesetengah parti boleh dianggotai oleh satu kaum sahaja? Bukankah kita menyuntik racun rasis ke dalam tubuh mereka? Bagaimana perkara ini telah dibenarkan berlaku selama lebih 50 tahun? Bukankah sukar dipercayai?,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menuntut parti Umno-MCA-MIC supaya menolak perkauman dalam kriteria keahlian dan membuka kepada mana-mana kaum.

“Untuk kebaikan negara dan anak -anak kita, saya menuntut Umno-MCA-MIC menolak kaum sebagai kriteria keahlian dan membuka parti masing-masing kepada rakyat Malaysia daripada mana-mana kaum.

“Jikalau mereka tidak mahu berbuat demikian, maka mereka tidak layak memimpin negara ini. Undang-undang mesti di pinda untuk mengharamkan kesemua parti-parti politik dan pertubuhan yang berdasarkan kaum,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.