Ucapan Nik Nazmi Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor untuk Sidang DUN 2011

Seri Setia ingin menjunjung kasih atas Titah Ucapan DYMM Tuanku sempena Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-12.

Federalisme Abad Ke-21

Seri Setia merasakan sudah sampai masanya Kerajaan Negeri Selangor memainkan peranan untuk membincangkan semula Federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sesuai dengan abad ke-21.

Banyak perbaharuan yang hendak diperkenalkan Pakatan Rakyat pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim di Selangor dihalang prinsip Federalisme yang sudah terhakis di negara kita.

Kita harus ingat negara kita mendapat kemerdekaan sebagai Persekutuan Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat. Cadangan membentuk kerajaan kesatuan menerusi Malayan Union yang diusulkan penjajah British dibantah dalam usaha memelihara kedudukan Raja-Raja Melayu dan identiti unik negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Semangat sama diteruskan apabila Persekutuan Malaysia dibentuk dengan Sabah, Sarawak Dan Singapura pada 1963.

Namun meskipun kita satu-satunya negara persekutuan di rantau ini, hari ini kita mempunyai sistem pemerintahan yang paling dipusatkan. Segala isu daripada jenayah, pendidikan hatta kutipan sampah sekalipun diputuskan daripada Putrajaya sedangkan saya fikir Negeri ataupun PBT lebih arif mengenainya. Malah, dalam isu seperti JKKK yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri, kerajaan pusat dengan mudah membentuk JKKKP. Ini jelas khianat pada DYMM Sultan dan Kerajaan Negeri Selangor.

Rakyat sendiri ramai yang tidak faham perbezaan dan ramai yang kecewa pasca 8 Mac apabila melihatkan kerajaan negeri tidak ada kuasa membatalkan tol lebuhraya mahupun memperkenalkan gaji minima.

Negara Indonesia, misalnya, yang merupakan negara kesatuan sudahpun melalui proses disentralisasi selepas era Reformasi 1998. Provinsi dan kabupaten Indonesia hari ini mempunyai lebih banyak kuasa berbanding negeri-negeri di Malaysia!

Walaupun untuk mengatasi masalah ini bukanlah sesuatu yang mudah, saya berharap kerajaan negeri dapat memulakan wacana dengan meluas bagi membincangkan bagaimana memartabatkan prinsip Federalisme sesuai dengan abad ke-21.

Tahun lepas kerajaan negeri bersama-sama Majlis Peguam Malaysia melancarkan kempen Perlembagaanku yang membincangkan hubungan kerajaan pusat-negeri. Baru-baru ini diadakan satu wacana ilmiah tentang federalisme secara kerjasama antara pejabat penasihat ekonomi dan mbsa yang mengundang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Profesor Dr Aziz Bari daripada UIA.

Saya masih ingat ketika dalam satu forum bersama YB Tuan Speaker dahulu di mana beliau menyatakan kita seharusnya menilai kuasa-kuasa kerajaan negeri yang lebih meluas sesuai dengan keperluan hari ini. Mungkin kerajaan negeri boleh adakan lebih banyak forum dengan mengundang pakar-pakar akademik, badan-badan NGO dan rakyat agar masyarakat umum menyokong usaha menilai Federalisme yang ada daripada kacamata abad ke-21.

IPT Selangor Zon Bebas AUKU

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Saya terkejut mendengar pendedahan YB Bukit Antarabangsa bahawa Majlis Perbandaran Selayang menjadi tuan rumah satu program yang hanya menjemput wakil rakyat dan penyelaras Parlimen / DUN BN dan tidak menghiraukan wakil rakyat Pakatan Rakyat. Sekalipun jika program ini dianjurkan Kementerian Kerajaan Persekutuan, ini satu lagi bukti kejahilan tentang Federalisme.

Pada 2009 saya dijemput merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Namun pihak HEP cuba menyamar sebagai mahasiswa dengan menelefon saya memaklumkan program tersebut dibatalkan dan kemudian mengarahkan semua pengawal menunggu kehadiran saya bagi menyekat saya masuk ke dalam UM. Tetapi sebagai wakil rakyat muda yang ingin meraikan jemputan mahasiswa, saya setuju bertemu mahasiswa di luar kampus, memakai jaket mahasiswa dan membonceng di atas motosikal mahasiswa untuk seludup masuk ke dalam kampus.

Bayangkan, saya seorang yang berhormat yang mendapat mandat rakyat terpaksa berbuat demikian untuk memenuhi jemputan mahasiswa.

Tetapi saya harus mengucapkan tahniah kepada pihak pentadbiran dan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa yang lebih matang. Mereka telah mengadakan siri forum ilmiah melibatkan pimpinan politik BN dan Pakatan Rakyat, NGO serta ahli akademik. Saya sendiri pernah bercakap di atas satu platform dengan YB Khairy Jamaluddin dan YB Dato’ Mukhriz Mahathir di UIA.

Justeru saya berharap kita dapat membawa budaya sama di IPT-IPT milik Kerajaan Negeri Selangor khususnya Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). kita jadikan IPT-IPT ini dari segi falsafahnya zon bebas Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Pertukaran nama UNISEL yang kini bukan lagi universiti industri dan penggantian canselor UNISEL daripada Datin Paduka Rosmah Mansor kepada Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Tun Uda adalah petanda positif untuk kita memulakan perubahan ini.

Sememangnya pintu kedua-dua IPT sudah terbuka kepada pimpinan pakatan rakyat sejak 2008 tetapi biarlah kita pergi lebih jauh lagi dengan mengadakan siri forum ilmiah melibatkan Pakatan Rakyat dan BN. Kita boleh jemput YB Sri Serdang, Sungai Panjang, Taman Templer, biarlah mereka boleh masuk kampus kita dengan terbuka bukan membonceng motosikal macam saya di UM dahulu.

Keadaan IPT Malaysia yang lesu akibat kekangan AUKU juga telah melihatkan ramai ahli akademik tempatan yang berkhidmat di luar negara, misalnya Profesor Azly Rahman pensyarah UUM yang dipecat kerana enggan menandatangani akujanji dan kini berkhidmat di Universiti Columbia, Amerika Syarikat; Sheikh Muhammad Afifi Al-Akiti yang berasal daripada Gombak dan kini merupakan pensyarah pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom; Profesor Jomo KS yang pernah berkhidmat di Universiti Malaya dan kini bersama Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat dan ramai lagi.

Buat jangkamasa pendek dalam usaha menjadi IPT-IPT Selangor zon bebas AUKU, Seri Setia ingin menyarankan UNISEL dan KUIS mengadakan program-program akademik yang melibatkan tokoh-tokoh ini. Pada jangkamasa panjang, baik sekiranya UNISEL dan KUIS dapat melantik tokoh-tokoh seperti ini menjadi pensyarah yang sekaligus akan mengangkat martabat IPT-IPT Selangor.

Roadmap Baru Untuk Flat Kos Rendah

Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian,

DYMM Tuanku menyeru dalam titah baginda agar wakil rakyat membangkitkan kepentingan rakyat dalam projek-projek termasuk Aliran Transit Massa (MRT). Seri Setia menganggap projek MRT ini suatu projek mee segera yang dibuat tanpa tender dan dengan memintas proses-proses perundingan sama kerana pilihan raya umum semakin hampir. Sama ada tujuannya untuk membuktikan pada rakyat Kerajaan Persekutuan bukan hanya bercakap kosong atau sebagai dana pilihan raya, saya tidak tahu.

Misalnya YB Nurul Izzah Anwar mendedahkan Scomi ada cadangan projek transit dengan kos RM 25 bilion, RM 10 bilion lebih rendah berbanding MRT Gamuda yang dipilih kerajaan. Scomi sahamnya pernah naik ketika zaman Perdana Menteri ke-5 tetapi hari ini agak menyepi. Adakah perbezaan terlalu besar ini untuk masuk kocek UMNO dan BN?

Projek mee segera ini bukan benda asing bagi BN. Sewaktu BN memegang Kerajaan Negeri Selangor, mereka mengusahakan projek Setinggan Sifar sehingga menggunakan Ordinan Darurat semata-mata untuk memberi tanah yang luas kepada pemaju-pemaju yang menjadi kroni mereka. Kita masih ingat bagaimana penduduk Kampung Berembang yang merupakan kubu kuat UMNO dihalau seolah-olah pendatang di negara sendiri pada zaman kerajaan yang lalu.

Hasilnya, flat-flat kos rendah yang dibina berada di dalam keadaan yang menyedihkan. Seri Setia menanggung masalah ini memandangkan perobohan Kampung Gandhi, Kampung Penaga di Jalan Kelang Lama yang digantikan desa mentari sampai hari ini menimbulkan masalah. Wujud hampir 4000 unit dengan 20000 penduduk di Desa Mentari sahaja yang hampir separuh Melayu dan separuh India.

Memandangkan kemudahan ibadat, dewan orang ramai dan taman rekreasi terlalu terhad, pelbagai masalah timbul. Bila masjid naik, penduduk India panik akibat hasutan MIC. Bila Sekolah Tamil naik, penduduk Melayu panik akibat hasutan umno. inilah politik pecah dan perintah Barisan Nasional.

Seri Setia menghargai pendekatan proaktif kerajaan negeri khususnya Menteri Besar dan EXCO dari Cempaka yang memilih Desa Mentari antara kawasan yang menerima peruntukan RM 1.7 juta daripada kerajaan negeri untuk membaiki lif. DUN Seri Setia turut menerima faedah sumbangan cat oleh MBPJ dan PKNS bagi flat-flat kos rendah di Kg Lindungan dan pjs 8.

Seri Setia berharap diwujudkan satu badan bertanggungjawab membuat kajian jangka masa panjang bagaimana memperbaiki kemudahan dan keadaan di flat-flat kos rendah seperti Desa Mentari. PKNS misalnya telah mempunyai pengalaman yang luas dalam aspek ini. dengan ini pendekatan kita berubah daripada ad-hoc kepada lebih spesifik bagi meningkatkan keadaan di flat-flat ini secara berterusan.

Memerangi Jenayah

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Masalah jenayah adalah masalah asas yang dihadapi semua rakyat. Rakyat berhak hidup bebas daripada ketakutan terhadap jenayah.

Seri Setia sekali lagi mengucapkan tahniah atas inisiatif kerajaan negeri dan MBPJ mewujudkan polis bantuan sekalipun disekat Kerajaan Persekutuan dan Bukit Aman.

Beberapa bulan lepas wakil-wakil rakyat di Petaling Jaya dikejutkan dengan cadangan pihak-pihak tertentu di MBPJ untuk merobohkan pondok-pondok pengawal bagi komuniti berpagar (gated community) kerana dikatakan tidak selaras dengan undang-undang.

Alhamdulillah, cadangan tersebut ditarik balik selepas bantahan wakil-wakil rakyat. Di sini kita berharap sebarang undang-undang haruslah melihat realiti masyarakat dan logik – common sense – bukan hitam putih semata-mata. Inisiatif penduduk tertentu mengurangkan jenayah dengan mewujudkan komuniti berpagar mestilah dipuji, dalam keadaan polis kekurangan anggota dan cadangan Polis Bantuan MBPJ tidak dapat dilaksanakan.

Seri Setia yakin sekiranya pihak polis tidak membuang masa menyoalsiasat Bukit Antarabangsa, Batu Caves dan Hulu Kelang, mereka dapat menumpukan lebih banyak masa membanteras jenayah.

Melebarkan Kemudahan Internet Di Selangor

Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian,

Seri Setia berkongsi keprihatinan yang disuarakan Yang Berhormat Bukit Antarabangsa untuk mengetahui status projek hybrid wireless infrastructure network (hywin) di selangor yang diwarwarkan sebelum ini.

Internet kini memainkan peranan amat penting khususnya bagi generasi muda yang biasa dengan blog, Facebook, Twitter dan peralatan internet mudahalih seperti Blackberry, iPhone dan sebagainya.

Seri Setia ingin menyahut seruan Bukit Antarabangsa dan mungkin boleh diusulkan EXCO-EXCO yang masih tidak menggunakan kemudahan-kemudahan ini dipotong gaji mereka.

Kita melihat pertentangan antara media baru dengan politik lama di Malaysia memandangkan rakyat muak dengan propaganda parti dan perkauman yang didendangkan media-media seperti Utusan Malaysia dan TV3 seperti yang disuarakan Yang Berhormat Sekinchan.

Justeru tidak mengejutkan, jika kita melihat peta akses internet di Selangor dengan keputusan pilihan raya umum 2008, umumnya lagi tinggi penetrasi internet lagi lemah pengaruh BN di situ.

Seri Setia ingin mengesyorkan sementara kita menanti hywin yang dikatakan akan meliputi seluruh Selangor hanya dalam tempoh 5 tahun lagi, kerajaan negeri mengusahakan kiosk-kiosk internet bergerak mahupun kiosk-kiosk internet setempat di balai-balai raya di kawasan-kawasan luar bandar.

Ini mungkin menggugat masa depan BN di kawasan-kawasan ini, tetapi lebih penting lagi kita mengatasi jurang digital (digital divide) dan memberikan peluang yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar.

Keputusan Pembangunan / Kemajuan Disegerakan

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Seri Setia ingin mengucapkan tahniah kepada keputusan kerajaan negeri membatalkan pembangunan komersial di Taman Subang Ria yang sudah lama diperjuangkan rakan saya Yang Berhormat Subang Jaya.

Namun kita lihat dalam banyak projek-projek pembangunan di Negeri Selangor, wujud rungutan bahawa keputusan akhir lambat dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri dan tempatan. tidak kira jawapannya ya, tidak mahupun kelulusan bersyarat, tetapi semua pihak sama ada penduduk, badan bukan kerajaan mahupun pemaju mahukan jawapan yang segera. Kita tidak boleh kerap menangguhkan keputusan memandangkan keputusannya melibatkan banyak pihak dan kos yang tinggi.

Sebagaimana dititahkan DYMM Tuanku, masalah birokrasi kerajaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembangunan yang lestari di Negeri Selangor. Sebelum ini kerajaan negeri di bawah YAB Dato’ Menteri Besar telah mengarahkan pkns menyerahkan Tasik Kelana yang terletak di DUN Seri Setia kepada MBPJ untuk dikekalkan sebagai kemudahan rekreasi. Namun sehingga hari ini penduduk masih menunggu penyempurnaan penyerahan serta penggazetan tasik tersebut. Seri Setia berharap penantian 3 tahun penduduk Kelana jaya dapat berakhir.

Selangor Terus Memimpin Perubahan

Yang Berhormat-Yang Berhormat Sekalian,

Seri Setia ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana beberapa dasar pembaharuan yang diperkenalkan. dasar-dasar seperti cuti bersalin 90 hari dan Hari Tanpa Beg Plastik kini turut diciplak oleh Barisan Nasional.

Ternyata selangor terus memimpin perubahan. Justeru Seri Setia berharap cadangan-cadangan yang dibuat oleh Seri Setia dalam ucapan ini dapat diambil serius oleh kerajaan negeri agar Selangor terus unggul memimpin perubahan.

Seri Setia menyokong Titah DYMM Tuanku.

No comments

Powered by Blogger.