Syabas! Mufti Perlis Berani Tegur Najib Dan Rosmah

Poco-poco: Pusat juga perlu transform agensi agama, kata Mufti Perlis

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata kerajaan tidak sepatutnya hanya mengadakan transformasi ekonomi dan politik, sebaliknya perlu juga mengadakan pembaharuan ke atas agensi-agensi agama agar tidak timbul kecelaruan dalam soal menggubal faktwa dan hukum.

Beliau memberikan pendirian tegas ini ketika muncul polemik berhubung keputusan mengharamkan tarian poco-poco di negeri Perak.

Negeri-negeri lain belum membuat pendirian masing-masing.

“Kerajaan tidak sepatutnya hanya transform ekonomi politik. Golongan agama seperti Islam dan lain-lain juga patut transform ke arah Malaysia yang lebih berjaya dan berdaya saing,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sehubungan itu Juanda berkata, beliau juga khuatir dengan kecelaruan akibat tidak jelas metodologi dalam menggubal hukum dan fatwa.

“Akibat fatwa poco-poco, habislah semua yang macam ada kaitan dengan agama lain akan haram selepas ini.

“Pulut kuning macam Hindu, kungfu macam Tao, huruf ‘T’ macam Kristian, bintang macam Yahudi, pasang api macam majusi, pesta air macam Buddha Thailand dan lain-lain lagi,” katanya sambil menambah, suasana makin bercelaru akibat tidak jelas metodologi “buat hukum dan fatwa.”

“Kerajaan Malaysia perlu transformasi agensi agama agar tidak timbul kecelaruan yang jejaskan imej Islam dan kerajaan yang ada yang menjulang tinggi Islam di Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataan pagi tadi, bekas mufti Perlis Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tarian poco-poco tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam.

Oleh itu kata beliau, jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah atau dicampuri perbuatan salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan.

“Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi s.a.w iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian atau pergerakan badan dan kepercayaan umat Islam yang bertentangan dengan akidah.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

No comments

Powered by Blogger.