Pemimpin PAS enggan layan hasrat Nalla

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 28 Mac — Pimpinan tertinggi PAS mengambil pendirian tidak mahu “melayan” hasrat Datuk S. Nallakaruppan yang mahu bertemu pemimpin parti Islam itu bagi mendedahkan sendiri siapa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, pemimpin PAS enggan memberikan sebarang komen berhubung cadangan Nallakaruppan itu,

“Beliau (Nallakaruppan) tak perlu nak dedah... kita pun tahu siapa Nallakaruppan.

“Jadi tak perlu nak susah-susah nak dedahkan,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata pihaknya tidak mahu melayan “permintaan” Nallakaruppan itu.

“Kita tak mahu layan Nallakaruppan,” jawabnya ringkas.

Nallakaruppan dipetik Utusan Malaysia hari ini berkata, kini tiba masanya untuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali mengetahui siapa Anwar.

“Pimpinan PAS boleh pilih tempat dan waktu, saya sedia bersemuka dengan mereka bagi menjelaskan siapa sebenarnya manusia bernama Anwar yang mereka julang sebagai ketua.

“Sebaik-baiknya saya diberi peluang bertemu dengan pemimpin tersebut kerana mereka orang yang boleh membuat keputusan dalam parti,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia semalam, disiarkan hari ini.

Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) berkata, perjumpaan tersebut sangat penting bagi menyelamatkan rakyat terutamanya orang Melayu dan penyokong kuat PAS.

Menurutnya, banyak perihal Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang tidak diketahui dan ia perlu diperjelaskan kepada mereka.

“Jangan biarkan mereka terus mempercayai bahawa segala apa yang dibongkarkan mengenai Anwar adalah fitnah belaka, tidak perlu taksub kepada Anwar,” katanya.

Nallakaruppan berkata, beliau sedikit pun tidak terkejut dengan isu video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tindakan “Datuk T” mendedahkan rakaman video seks melibatkan seorang didakwa pemimpin kanan Pakatan Rakyat dengan pelacur dari China.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad juga mengambil pendirian tidak mahu melayan Nallakaruppan.

Malah Mustafa juga enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu.

“Tiada komen,” jawabnya.

No comments

Powered by Blogger.