Jenayah Fitnah, Whistleblower, Dan Kegilaan Peradaban

Dari Merdeka Review

Oleh Ooi Heng

Fitnah adalah suatu rekayasa daripada peristiwa yang tidak benar, yang bertujuan untuk merosakkan reputasi atau menjatuhkan kredibiliti seseorang. Dalam isu fitnah melalui penayangan video seks, jelas sekali tindakan pihak yang merancang dan mempersembahkan video seks kepada sekumpulan wartawan senior di Hotel Carcosa Sri Negara terlibat dengan unsur-unsur jenayah. Kumpulan manusia tersebut (termasuk “Datuk Trio”) patut ditahan polis, disiasat dan didakwa ke mahkamah.

Tetapi anehnya, komen sesetengah ahli politik UMNO termasuk komen awal “Menteri loose cannon” bukan sahaja bercanggah dengan prinsip negara hukum, malahan mempamerkan suatu fenomena peradaban yang cukup ganjil sehingga mencadangkan pemakaian konsep whistleblower atau pemberi maklumat ke atas kumpulan manusia dengan tindakan berunsur jenayah. Logik pemikiran sedemikian yang penuh dengan ciri-ciri kegilaan peradaban (madness of civilization) sesuatu kelompok masyarakat cukup menakjubkan!

Apabila jenayah dilindungi, penjenayah diibaratkan sebagai whistleblower sementara mangsa politik seks cuba dilambangkan sebagai penjenayah yang harus disiasat melalui penubuhan Suruhanjaya Diraja, peradaban bumi 2Malaysia kini dicorakkan oleh ciri-ciri kegilaan ekoran tindakan pemimpin politik yang sanggup melakukan sebarang politik kotor agar dipanjangkan usia rejim pemerintah.

Dalam isu fitnah melalui penayangan video seks, umum sedia maklum bahawa watak dalam video tersebut bukanlah insan bergelar Anwar Ibrahim. Malahan seorang Datuk yang juga mempunyai gelaran “Tan Sri” iaitu Robert Phang (gambar kanan) menawarkan wang sejumlah RM100,000 kepada pemberi maklumat yang dapat membongkarkan identiti “Datuk T” kerana terlibat dengan kegiatan berunsur jenayah dan fitnah.

Bayangkanlah dalam masyarakat yang dicirikan oleh kegilaan peradaban – apabila mangsa fitnah politik dijadikan sebagai terms of reference penubuhan Suruhanjaya Diraja kononnya untuk mencari kebenaran – sementara mereka yang terlibat dengan dakwaan berunsur jenayah diberikan perlindungan sebagai whistleblower, apakah sifat kebenaran yang dijadikan nilai masyarakat kita? Inikah nilai peradaban yang ingin dipamerkan oleh Kerajaan Najib dewasa ini?

Justeru, wujud suatu keperluan untuk mengimbas kembali dan memahami Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang digubal oleh Kerajaan UMNO-BN. Untuk memahami logik dan pemikiran kerajaan berhubung penggubalan akta tersebut, izinkan saya menjelaskan secara panjang lebar hujah-hujah penting yang dibangkitkan semasa bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Menurut penyata rasmi Dewan Rakyat bertarikh 20 April 2010, bacaan kali kedua RUU tersebut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Liew Vui Keong (gambar kiri) berbunyi sedemikian:

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan iaitu rang undang-undang bernama “Suatu Akta untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pendedahan kelakuan tidak wajar dalam sektor awam dan swasta untuk melindungi orang yang membuat pendedahan itu daripada tindakan yang memudaratkan untuk mengadakan peruntukan supaya perkara yang didedahkan, disiasat dan diuruskan dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara lain yang berkaitan dengannya” dibacakan kali yang kedua sekarang.

Bermula dengan retorik Kerajaan Najib untuk memerangi rasuah melalui pengumuman bidang kebersihan utama nasional atau lebih dikenali sebagai NKRA, Timbalan Menteri telah menyentuh beberapa peruntukan penting di bawah RUU tersebut, antaranya termasuk:

(i) perlindungan kerahsiaan maklumat;
(ii) kekebalan pemberi maklumat daripada tindakan sivil jenayah atau tatatertib; dan
(iii) perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan.

RUU tersebut mengandungi tujuh bahagian dan 27 fasal. Fasal 2 mengandungi tafsiran kepada perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam RUU tersebut. Antara ungkapan tersebut ialah ungkapan pemberi maklumat – ditafsirkan sebagai mana-mana orang yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan.

Perhatikan bahawa tafsiran pemberi maklumat dalam konteks RUU tersebut dikaitkan secara langsung dengan pendedahan kepada agensi penguatkuasaan sementara Fasal 4 memberi kuasa kepada Menteri untuk mengeluarkan arahan tentang penjalanan, budi bicara dan kewajipan agensi penguatkuasaan.

Dengan kata lain, maklumat rahsia haruslah dimaklumkan oleh pemberi maklumat kepada pihak penguatkuasa dan bukannya dibongkarkan kepada pihak media atau pihak yang bukan tergolong sebagai agensi penguatkuasaan menurut tafsiran RUU tersebut.

Sesungguhnya, peranan media whistleblowing menjadi tajuk perbahasan yang hangat semasa bacaan kali kedua RUU tersebut. Tetapi jawapan Timbalan Menteri pada ketika itu dengan jelas menyatakan bahawa RUU tersebut tidak melibatkan peranan media.

Berhubung persoalan sama ada perlindungan diberikan kepada orang yang menbuat pendedahan:

(i) kepada media;
(ii) melalui agensi penguatkuasaan dan selepas itu menyiarkan atau mengheboh-hebohkan kepada media,

Jawapan Timbalan Menteri berbunyi sedemikian:

“Jawapan saya ialah dalam situasi sedemikian pemberi maklumat tersebut tidak akan dilindungi di bawah rang undang-undang ini. Ini adalah kerana bagi situasi yang pertama iaitu melalui media, pemberi maklumat tersebut tidak mematuhi peruntukan subseksyen 71 yang memperuntukkan bahawa pemberi maklumat akan diberi perlindungan di bawah undang-undang ini apabila pendedahan tersebut diterima oleh mana-mana agensi penguatkuasa. Media tidak termasuk dalam tafsiran agensi penguatkuasa di bawah undang-undang ini.

Bagi situasi yang kedua pula, pemberi maklumat tersebut akan dilindungi pada masa ia membuat pendedahan tersebut kepada agensi penguatkuasa tetapi akan kehilangan perlindungan tersebut apabila dia membuat penghebahan kepada media. Ini adalah kerana pemberi maklumat tersebut adalah tertakluk di bawah subseksyen 8(1) untuk tidak mendedahkan pendedahan kelakuan tidak wajar yang dibuat kepada mana-mana agensi penguatkuasaan kepada mana-mana pihak termasuklah media.

Ini bertujuan untuk melindungi juga orang yang dikatakan melakukan kelakuan tidak wajar. Itu kerana dakwaan oleh pemberi maklumat tersebut mungkin tidak benar dan supaya tidak mengganggu penyiasatan.”

Justeru, apabila dibaca dan difahami fasal demi fasal seperti yang terkandung dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, hanya whistleblower yang mendedahkan maklumat rahsia kepada pihak penguatkuasa akan diberi perlindungan dan tindakan diambil di bawah peruntukan akta ini.

Meskipun whistleblower melalui media adalah komponen penting yang patut dimasukkan bagi melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam akta ini, tetapi selagi pindaan tidak dilakukan terhadap akta ini, tiada peruntukan undang-undang pada masa ini yang memberikan perlindungan lantas diambil tindakan.

Apa yang lebih relevan dalam isu penayangan video seks adalah, terdapat elemen konspirasi jahat melibatkan unsur jenayah dan fitnah. Justeru, penggunaan konsep whistleblower terhadap mereka yang melakukan jenayah dan menjadikan mangsa fitnah penjenayah adalah sesuatu yang bercanggah dengan raison detre Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Jangan kita lupa bahawa Fasal 21 akta ini juga memperuntukkan bahawa membuat penyataan palsu dalam pendedahan kelakuan tidak wajar atau aduan tindakan yang memudaratkan ialah satu kesalahan sementara Fasal 23 memperuntukkan bahawa memusnahkan, memalsukan atau menyembunyikan apa-apa dokumen atau benda yang berkaitan dengan sesuatu penyiasatan adalah satu kesalahan.

Memandangkan isu penayangan video seks berdepan dengan terlalu banyak pertikaian dan kemusykilan dari segi elemen jenayah dan fitnah, pihak polis wajar melakukan siasatan bukan sahaja terhadap “Datuk Trio” tetapi juga kumpulan pemimpin politik yang terlibat dengan konspirasi fitnah tersebut.

Pihak tentera memaparkan profesionalismenya apabila Panglima Tentera Darat, Jeneral Zulkifeli Mohd Zin tegas dengan pendirian berkecuali melalui komen beliau, “Jangan heret pasukan tentera ke kancah politik!”

Bagaimana pula dengan pihak polis? Apakah pihak polis tegas dengan prinsip profesionalisme yang menolak kuasa politik atau menyokong konsep negara polis yang bersekongkol dengan kuasa politik jahat untuk menjatuhkan pemimpin pembangkang meskipun fitnah sebegitu rupa membawa peradaban masyarakat ke arah kegilaan?

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

No comments

Powered by Blogger.