Izzah buat laporan polis, gesa komik lucah disiasat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar membuat laporan polis berhubung pengedaran komik lucah yang mengandungi imej watak yang menyerupai Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Komik setebal 16 muka surat yang bertajuk ‘Kisah Juara Raja Lawak’ itu, disebar kepada pengundi sekitar Lembah Pantai, melalui sebuah pejabat pos di Shah Alam.

Menurut Izzah, tindakan mengedar komik berniat jahat tersebut merupakan satu lagi kempen untuk menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan juga imej seluruh Pakatan Rakyat.

“Saya menggesa PDRM untuk menyiasat aduan ini dengan pantas, adil, dan secara menyeluruh dan memastikan mereka yang bertanggungjawab bermain politik lucah sebegini dibawa ke muka pengadilan.

“Kegagalan untuk berbuat sedemikian menunjukkan kerajaan persekutuan yang dipimpin BN bersekongkol khususnya berkait dengan video lucah yang dimainkan dengan hebatnya oleh media arus perdana,” ujar beliau dalam satu kenyataan media selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Izzah berkata, pengedaran bahan lucah berkenaan adalah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan di mana mereka yang didapati bersalah dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun, atau dikenakan denda, atau kedua-duanya.

Mereka yang terbabit juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah memfitnah.

Dalam pada itu, Izzah turut menggesa pihak polis supaya menyiasat laporan polis yang dibuat Datuk Seri Anwar di antara 9 Julai 199 hingga 20 Ogos 1999, berkenaan salah guna kuasa yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad, peguam negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Salahgunakuasa itu termasuk cubaan menutup isu rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, yang juga dalang dalam rakaman video lucah palsu yang mengaitkan Anwar baru-baru ini.

No comments

Powered by Blogger.