Enggan lulus Pakatan Rakyat, ROS ikut telunjuk Umno

SHAH ALAM: Sikap pilih kasih Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang tidak meluluskan penubuhan Pakatan Rakyat tetapi memberi layanan istimewa kepada parti Kesejahteran Insan Tanah Air (Kita) sedangkan proses permohonan kedua-duanya datang dari individu sama – Datuk Zaid Ibrahim, dipersoal.

Mencelah pada sidang Dewan Negeri Undangan (DUN) Selangor, Mohamed Azmin Ali (KEADILAN-Bukit Antarabangsa), berkata permohonan menubuhkan Pakatan Rakyat dihantar dua tahun dulu tapi tidak diluluskan ROS sehingga kini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden KEADILAN dan Ahli Parlimen Gombak, sebaliknya berkata ROS meluluskan permohonan parti Kesejahteran Insan Tanah Air (Kita) hanya dalam masa seminggu.

“Parti Kita, hantar seminggu terus lulus. Tapi kami(Pakatan Rakyat) sudah dua tahun hantar, sehingga sekarang masih tidak diluluskan lagi. ROS tidak berlaku adil dalam meluluskan permohonan itu kerana mengikut telunjuk Umno.

“Sepatutnya Sungai Pelek jangan tanya kami. Tanya kerajaan kerana asal melibatkan Pakatan, semuanya tidak dilayan,” katanya ketika membidas Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek) yang mengeluarkan kenyataan Pakatan Rakyat tidak sah daripada segi undang-undang.

Ee Wah berbuat demikian ketika mencelah perbahasan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang membahas prestasi Selangor lantaran menunjukkan prestasi mengkagumkan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini.

Untuk rekod, proses permohonan penubuhan Pakatan Rakyat dijalankan Zaid atas kapasiti Penyelaras Pakatan Rakyat bersama beberapa pemimpin parti gabungan, ketika beliau masih dalam KEADILAN. Selepas keluar parti, Zaid kemudian menubuhkan parti Kita.

No comments

Powered by Blogger.