Drama kehidupan: Antara realiti dan fantasi

Oleh NURUL IZZAH

Rupanya drama kehidupan juga ada dua darjat: satunya fantasi dan satunya realiti. Saban hari kita menyaksikan pelbagai peristiwa yang mewarnai perjalanan hidup individu, keluarga, masyarakat, Negara mahupun dunia. Ia ibarat menyaksikan drama-drama kehidupan manusia yang pelbagai ragam dan bermacam agenda beraksi di atas pentas yang fana atau maya ini.

Seperti menyaksikan program drama di kaca TV ia mungkin menghiburkan, melekakan dan juga boleh mengalihkan tumpuan kita daripada drama kehidupan realiti yang sedang berlaku di depan mata.


Kadangkala kita tidak dapat membezakan atau dapat menilai yang mana lebih penting untuk diberikan tumpuan kerana lazimnya drama fantasi lebih menarik daripada drama realiti.

Maksud saya di sini ialah apabila kita dipertontonkan peristiwa video lucah hasil usaha Tiga Datuk dan bukannya Tiga Abdul menjadi contoh bagaimana satu fantasi sedang cuba dijadikan realiti untuk politik jahat dan lucah. Segala adab dan juga prinsip agama yang melarang mengaibkan seseorang dan membuat tuduhan fitnah dengan tidak dirujuk kepada mahkamah syariah menjadikan ia lebih sensasi.

Diharap pihak yang berkuasa akan menyiasat dan mengheret pesalah yang telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang menerusi video lucah dipertontonkan ke muka keadilan. Ini belum lagi dihisab di Padang Ma’shar yang tentunya memperlihatkan kebenaran sejelas-jelasnya di sebalik drama ini.

Jika kita lihat beberapa drama bertemakan unsur ketakutan dan perpecahan seperti isu novel Interlok, isu kitab injil penganut Kristian dan isu perkauman; semuanya menggambarkan betapa jahatnya tujuan penulis-penulis skrip drama ini. Ia bukan menghiburkan tetapi menjelikkan lagi meresahkan jiwa penonton. Sebenarnya semua drama ‘seram’ ini hanya untuk mengalihkan perhatian dan pandangan rakyat daripada isu-isu dasar yang penting untuk masa depan negara.

Sepatutnya kita dipertontonkan drama-drama penuh patriotisme yang menampilkan wira-wira politik dan bukan lanun-lanun politik menggunakan segala jentera dan institusi kerajaan untuk kepentingan kelompok. Seperti lanun-lanun Somalia yang merompak harta orang lain kita juga mesti sedar wujudnya lanun-lanun politik yang merompak hak rakyat di peti undi dengan pelbagai muslihat seperti menggunakan pelakon pengundi hantu, pemindahan pengundi penyokong ke kawasan panas, penggunaan undi pos yang tidak ditawarkan pula kepada beratus ribu rakyat di luar negara, waktu berkempen yang pendek dan kerenah sama waktu dengannya.

Sepatutnya kita dipertontonkan drama-drama penuh inspirasi bagaimana semua rakyat ada peluang untuk membina kekayaan ekonomi secara saksama, tetapi sebaliknya kita ada drama harga barang naik, drama subsidi rakyat dipotong manakala subsidi kroni dikekalkan dan yang patut diberikan perhatian ialah drama aksi lanun-lanun ekonomi yang menggunakan segala kelebihan jentera kerajaan untuk kekayaan kelompok sahaja. Barulah kita faham maksud dialog drama lanun, “satu untuk awak (rakyat), sejuta untuk saya (lanun ekonomi).” Semuanya bertambah lucu, apabila tontonan program transformasi kerajaan mempersembahkan statistik maha hebat, seolah-olah Malaysia bebas rasuah, jenayah, hatta kemiskinan tegar sekalipun.

Sepatutnya kita dipertontonkan drama-drama penuh harapan dan yang mengangkat martabat negara dan darjat pemimpin semua. Bayangkan adanya drama yang menyaksikan satu debat perdana penuh sopan atau regu berakhlak mengenai dasar-dasar kerajaan dan pembangkang untuk rakyat membuat pilihan berilmiah demi masa depan anak bangsa. Bayangkan pertembungan idea berlangsung dalam drama pembangunan sebuah negara yang bebas daripada rasuah, pembaziran, fitnah dan segala bentuk salah guna kuasa - hanya berkisar tentang dasar mana paling menguntungkan rakyat.

Sepatutnya rakyat menjadi penulis skrip yang penuh harapan dan inspirasi demi membina Malaysia lebih baik untuk semua. Jangan biarkan lanun-lanun politik dan ekonomi terus menulis skrip drama-drama yang penuh ketakutan dan kerugian.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya untuk rakyat memilih dengan bijak drama mana seharusnya terus dipersembahkan; yang bercelaru dan mungkin memusnahkan negara, atau drama berkisar realiti yang membina tapak ke arah pembangunan negara sebenar.

Oh hidup di Malaysia penuh drama!

No comments

Powered by Blogger.