Wanita Pakatan guna pendekatan mesra rakyat

Hazayani Zakaria

JASIN, 25 Feb: Wanita Pakatan Rakyat (PR) akan memperkasakan pendekatan wanita mesra rakyat pada kempen pilihan raya kecil Dun Merlimau, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh.

Beliau berkata, jentera wanita PR akan berusaha menjelaskan tawaran PR kepada rakyat jika diberi peluang untuk membawa suara mereka ke sidang Dun.

"Kita akan menggunakan pendekatan wanita mesra rakyat di mana kita menjelaskan dengan bersungguh-sungguh tawaran PR kepada rakyat," kata beliau dalam Majlis Pelancaran Jentera Wanita Pakatan Rakyat di markas induk PAS PRK Merlimau, dekat sini petang tadi.

Nuridah berkata, wanita PR juga akan menerangkan kepada pengundi bahawa PR bukan bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat negeri itu tetapi ingin membawa mereka keluar daripada politik lama Umno BN.

"Kita kena jelaskan kepada pengundi-pengundi bahawa kita tidak berniat memecah belahkan masyarakat tapi ingin membawa mereka kepada pemerintahan yang lebih telus.

"Kita boleh jadikan negeri-negeri PR yang berjaya mentadbir negeri dan menjaga kebajikan rakyat sebagai contoh," katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.

Turut berucap dalam majlis yang dihadiri kira-kira 300 orang itu ialah Timbalan Speaker Dun Selangor, Haniza Talha.

Haniza mengingatkan wanita PR agar tidak gentar untuk berhadapan dengan Umno BN.

"Kita jangan khuatir dan gentar dengan propaganda Umno BN kerana ia perkara biasa.

"Kita harus memberi cabaran kepada mereka agar tidak berasa selesa dengan kemenangan sebelum ini," katanya yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Halim Abdul Rahman dan wakil dari DAP.

1 comment

Atuk Banjar Masin said...

Itu pendekatan cara lame yang dah lapuk. Anyway, apa jua cara pun, PR pasti tertonggeng tersembam ke bumi.

Powered by Blogger.