Tarik balik atau berdepan saman: Dr Xavier

SHAH ALAM 24 Feb – Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menafikan sekeras-kerasnya laporan media internet yang dibuat oleh wartawan Free Malaysia Today B. Nantha Kumar bertajuk ‘Xavier Pleads To Be Retained As Exco’ yang disiarkan pada Selasa 22 Februari lalu.
Katanya, laporan tersebut berniat jahat untuk memburuk-buruk imejnya sebagai Exco dan menegaskan bahawa tuduhan-tuduhan yang dibuat adalah palsu dan tidak berasas.

Dr Xavier berkata demikian dalam kenyataan medianya dan menggesa Free Malaysia Today menarik balik artikel tersebut dari laman web media tersebut dan memohon maaf dengan serta merta.

Beliau juga meminta wartawan B. Nantha Kumar memohon maaf kepada beliau dengan dengan membuat pengakuan bahawa segala laporan dibuat dalam artikel tersebut semuanya adalah palsu dan bohong.

Beliau juga mahukan Editor dan Pengurusan akhbar Tamil Nesan yang turut menyiarkan artikel tersebut di dalam akhbar itu hari ini untuk menarik balik artikel yang disiarkan dengan serta merta dan membuat pengakuan tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.

Kegagalan ketiga-tiga pihak ini iaitu Pengurusan Free Malaysia Today , Wartawan B. Nantha Kumar dan Editor Pengurusan Akhbar Tamil Nesan untuk meminta maaf kepada Dr. Xavier akan menyebabkannya tiada pilihan untuk mengarahkan peguam beliau menyaman ketiga-tiga pihak ini di mahkamah tanpa sebarang notis.

No comments

Powered by Blogger.