PM dan TPM turun padang mulai Mac, PRU13 selepas Sept?

TEMERLOH, 26 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan program turun padang di setiap negeri mulai bulan depan bertujuan mendekati rakyat.

Kedua-dua pemimpin Barisan Nasional itu mengambil pendekatan itu sementara spekulasi semakin kuat pilihan raya umum akan diadakan tahun ini.

Najib juga ada mengumumkan pendekatan itu ketika menutup Perhimpunan Agung Umno akhir tahun lalu.

Mengumumkan demikian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Operasi dan Pelaksanaan program itu berkata, sebagai permulaan, kedua-dua pemimpin negara itu akan mengunjungi Sarawak.

Pilihan raya negeri dijangka diadakan akhir Mac atau awal April.

“Selepas Sarawak, kedua-dua mereka akan berada di dua negeri secara berasingan setiap bulan.

“Mereka akan berada dua hari satu malam dan akan menjurus kepada mendekati orang ramai dan memahami masalah dan mendengar rintihan yang ada,” kata Hishammuddin ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau di sini, hari ini.

Dipetik Bernama beliau berkata, semua negeri dijangka akan dilawati sehingga menjelang September ini dan akan diteruskan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Mandat semasa Parlimen hanya akan berakhir April 2013.

Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada 8 Mac 2008.

No comments

Powered by Blogger.