Ali Rustam Minta PAS Menyerah Kalah

Umno: PAS patut tarik diri jika hanya mahu uji kekuatan
Oleh Syed Mu’az Syed Putra


JASIN, 26 Feb — Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihatkan PAS menyerah kalah dan menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau, yang bermula hari ini, jika hanya mahu menjadikannya medan menguji kekuatan menghadapi pilihan raya umum.

Sehubungan itu Ketua Menteri Melaka berkata beliau yakin pengundi-pengundi Merlimau akan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

“Pengundi di Merlimau akan memberikan sokongan kepada calon BN dan saya nasihatkan PAS supaya menyerah kalah dan menarik diri dari pilihan raya kecil ini.

“Saya percaya pengundi akan memberikan sokongan kepada calon kita dan saya rasa BN akan menang dalam pilihan raya kecil ini, jika calon kita menang saya yakin beliau boleh memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon pilihan raya kecil DUN Merlimau di sini.

Mohd Ali yang juga Pengerusi BN Melaka menegaskan, sekiranya PAS bertanding hanya kerana ingin menguji kekuatan parti adalah lebih baik parti Islam itu tarik diri daripada bertanding.

“Kalau setakat mahu bertanding kerana nak uji kekuatan jentera tidak ada makna PAS bertanding.

“Jika PAS bertanding kerana nak jadikan ia sebagai medan menguji kekuatan parti untuk menghadapi pilihan raya umum, saya rasa mereka perlu tarik diri,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad dan calon PAS Yuhaizat Abdullah.

Roslan merupakan ahli jawatankuasa Umno Jasin manakala Yuhaizat adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Ini merupakan kali pertama kedua-dua calon bertanding dalam pilihan raya.

No comments

Powered by Blogger.