Siasatan terhadap Shuhaimi sepatutnya sudah selesai

SHAH ALAM: Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Azmizam Zaman Huri mempersoalkan mengapa pihak polis memanggil pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Shuhaimi Shafie untuk memberi keterangan di balai polis hari ini.

Beliau mengulas tindakan polis memanggil pembantu ADUN berkenaan, Mohammed Azmin Abdul Kadir supaya memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Shah Alam petang ini, dipercayai berhubung siasatan ke atas wakil rakyat berkenaan.

Mohammed Azmin memberi keterangan kira-kira pukul 4 petang tadi selepas polis menelefon ke pejabat DUN berkenaan bagi memaklumkan perkara itu, petang semalam.

Menurut Azmizam, beliau merasa pelik kerana kes tersebut sepatutnya sudah selesai memandangkan polis sendiri telah menjalankan siasatan terhadap Shuhaimi.

“Sepatutnya siasatan sudah selesai. Polis sebelum ini dah ambil komputer dari pusat khidmat YB Shuhaimi, malah beliau sendiri sudah disiasat. Sepatutnya sudah tidak perlu datang ke balai beri keterangan,” kata Azmizam.

Azmizam juga percaya polis akan terus memanggil pembantu Shuhaimi yang lain bagi tujuan berkenaan, dalam masa terdekat.

“Kita akan tetap hadir memberi keterangan sebagai tanda hormat kepada tugas dan tanggungjawab pihak polis. Kalau tak datang, nanti kita dikata tak memberi kerjasama pula,” kata Azmizam.


Shuhaimi sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan oleh polis berhubung tulisan di dalam blognya yang mempertikai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi.


Susulan kejadian itu juga, pejabat beliau yang terletak di Kota Kemuning, Shah Alam turut disimbah cat oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Polis sebelum ini turut menggeledah pejabat beliau dan merampas komputer dari pejabat berkenaan bagi tujuan siasatan.

No comments

Powered by Blogger.