RM888 bilion lesap: Kerajaan dicabar tubuh jawatankuasa khas

Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) dicabar menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca dan dalang di sebalik pengaliran wang haram sebagaimana yang didedah Global Financial Integrity (GFI), baru-baru ini.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli percaya siasatan itu jika dibuat akan membuktikan salah laku pentadbiran kerajaan Persekutuan yang sehingga kini hanya menutup mata dengan pendedahan itu.

“Jika melihat kepada laporan GFI di bawah kajian Illicit Financial Flow From Developing Country 2000 hingga 2009, membuktikan pengaliran wang berlaku sejak dahulu lagi sehingga kini.

“Kenyataan itu ada logiknya kerana laporan Bank Negara menunjukkan RM120 bilion wang keluar masuk tidak dilaporkan antara 2005 hingga 2009 tetapi tiada tindakan daripada kerajaan,” katanya.

GFI sebelum ini mendedahkan, sebanyak RM888 bilion wang haram dilarikan ke luar negara antara tahun 2000 hingga 2009.

Badan pemerhati kewangan antarabangsa itu mendefinisikan wang haram sebagai merujuk kepada wang daripada aktiviti tidak sah seperti rasuah, kecurian, sogokan serta pengelakan cukai.

Bercakap kepada Keadilandaily, Rafizi turut mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan industri (MITI), Datuk Mukhriz Tun Mahathir berhubung pengaliran wang haram, kononnya GFI ada muslihat dan agendanya tersendiri.

“Kenyataan Mukhriz seperti tidak faham soal ekonomi. Sepatutnya mereka buka mata apabila isu ini dibangkitkan, bukannya mengatakan pembangkang membesarkan isu kerana ia melibatkan jatuh bangunnya ekonomi negara.

“Antara kesan yang dapat dilihat apabila berlakunya aliran wang haram ialah cukai tidak dibayar, sekaligus menyebabkan perkembangan ekonomi negara semakin lembap,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.