The Malaysian Insider diminta perbetul laporan

PETALING JAYA, 28 Jan – Parti Keadilan Rakyat meminta laman portal The Malaysian Insider memperbetulkan laporan mengelirukan bertajuk ‘Muslim group with links to Anwar accused of terror connection, says CNN’, kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi dalam satu kenyataan medianya berkata berita ini adalah berdasarkan laporan CNN oleh Nic Robertson iaitu ‘Saudi discover new funding channels for Taliban, al-Qaeda‘.

“Laporan CNN tersebut jelas melaporkan bahawa pihak berkuasa Arab Saudi mula melakukan siasatan berikutan dakwaan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendapat tajaan dana daripada dua orang putera raja Saudi,” katanya.

Menurut Nik Nazmi lagi, bagaimanapun hasil siasatan mendapati dakwaan Datuk Seri Najib adalah tidak benar dan tidak berasas.

‘Laporan sulit yang didapati oleh CNN menyimpulkan: “Tidak wujud bukti mana-mana pegawai Saudi menyokong Anwar Ibrahim” dan “dakwaan sokongan daripada keluarga diraja Saudi yang dinamakan dalam laporan awal didapati tidak berasas.”‘

Sebaliknya, dana Saudi didapati disalurkan kepada ahli politik dan aktivis Islam, di samping Taliban dan al-Qaeda berupaya mendapatkan dana dari Arab Saudi.

Tambah Nik Nazmi lagi,tidak terdapat mana-mana perenggan dalam laporan CNN yang menyebut Anwar mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas. The Malaysian Insider juga tidak mengemukakan sebarang bukti tentang percanggahan di dalam laporan tersebut.

“Ini jelas membuktikan bahawa laporan TMI mengelirukan. KEADILAN menuntut TMI agar membuat pembetulan yang sewajarnya serta memohon maaf di atas kesilapan tersebut,” ujar Nik Nazmi.

No comments

Powered by Blogger.