Keberkesanan skim kawalan harga dipersoal

KUALA LUMPUR: Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) mempersoalkan keberkesanan skim kawalan harga yang dilaksanakan kerajaan yang dianggap tidak menyelesaikan masalah struktur ekonomi secara keseluruhan terutama dalam mengawal peningkatan harga barang.

Dalam satu analisa yang dipapar dalam laman webnya, unit penyelidikan itu merujuk jadual Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia baru-baru ini sebagai rumusan.

“Timbul persoalan, apakah peruntukan Program Pengedaran Barang Perlu seperti minyak masak, gula, tepung, gas, petrol dan diesel sebanyak RM200 juta sebagaimana yang disebut dalam Belanjawan Negara 2011 akan menjadi suatu lagi pembaziran wang rakyat?

“Jelas, KPRU melihat kadar kenaikan harga yang berlaku di luar Jadual IHP adalah lebih pantas berbanding angka-angka purata yang dikumpulkan oleh Jabatan Statistik Malaysia dan mempersoalkan keberkesanan skim kawalan harga dalam menyelesaikan masalah,” ujarnya.

KPRU merumuskan berlaku peningkatan yang ketara dalam harga makanan dan miniman sejak setahun lalu, menyebabkan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan miskin terus terbeban kerana tidak dapat menampung perbelanjaan makanan harian yang semakin meningkat.

“Buktinya, sub kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol mencatatkan peningkatan harga drastik seperti beras, roti dan bijirin lain (0.9%), daging (2.9%), sayur-sayuran (8.1%), gula, jem, madu, coklat dan manisan (10.2%)[2] merupakan antara makanan-makanan yang kerap dibeli oleh rakyat dan dihidang di atas meja makan rumah.

Di luar Jadual IHP pula, KPRU berpendapat, kadar kenaikan harga cukup menggerunkan.

“Umpamanya, harga bawang merah yang biasanya dijual pada harga RM6 sekilogram meningkat berkali-kali ganda kepada RM13 sekilogram di Sarawak. Manakala, dilaporkan bahawa harga minuman teh tarik meningkat sebanyak 10 sen mulai awal tahun ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kegagalan kerajaan dalam mengatasi kenaikan harga barang keperluan sentiasa terserlah setiapkali musim perayaan, lebih-lebih lagi apabila barangan dan perkhidmatan tersebut ‘dikawal’ harga dan bekalannya tanpa penyelesaian jangka panjang.

“Pengamatan KPRU mendapati selari dengan penjualan Transaksi PPB Group Berhad, sebuah syarikat pemprosesan gula yang dimiliki oleh Robert Kuok kepada Felda Global Ventures Sdn Bhd dengan nilai RM1.5 bilion pada bulan Januari 2010 telah menyaksikan kerajaan menaikkan harga gula pada masa yang sama.

“Sementara itu, limau Mandarin yang berharga RM28 sekotak mengalami kenaikan sebanyak RM4 – RM5 semenjak setahun lalu. Harga bawang kecil pula dilaporkan meningkat dua kali ganda berbanding harga asal iaitu RM4 –RM5 sekilogram kepada RM11 sekilogram.

“Sempena perayaan Thaipusam, harga sebiji kelapa di Pulau Pinang telah naik kepada RM1.50 berbanding RM1.20,” jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.