Hsien Loong pertahan umat Islam Singapura

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

Hsien Loong berkata pandangannya “tidak sama” dengan apa yang dilontarkan oleh bapanya. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 30 Jan — Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mempertahankan komuniti Islam republik itu sambil menegaskan, pandangan kerajaan pimpinannya berbeza daripada apa yang dikeluarkan oleh bapa beliau, Lee Kuan Yew dalam buku terbarunya.

Akhbar Singapura The Straits Times melaporkan bahawa Lee Hsien memuji umat Islam atas sumbangan mereka ke arah usaha memantapkan keharmonian pelbagai agama republik itu.

Malah beliau juga menekankan, pandangannya “tidak sama” dengan apa yang dilontarkan oleh bapanya yang juga bekas perdana menteri Singapura.

“Umat Islam adalah komuniti yang dihargai dan dihormati, yang telah memainkan peranan dalam memperkukuhkan keharmonian kita dan kepaduan sosial,” kata Hsien Loong kepada pemberita negara itu.

Dalam buku terbarunya Kuan Yew antara lain meminta umat Islam Singapura agar tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Aspek itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan pemimpin Islam dan NGO Melayu di Malaysia sejak awal minggu lalu.

Dalam tulisan terbaru buku berjudul “Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going”, Kuan Yew juga berkata, beliau tidak pernah memperlekehkan penggantinya sebagaimana dilakukan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi mendakwa peranan beliau hanyalah memberi nasihat kepada barisan pemimpin yang menggantikannya di republik tersebut.

“Inilah niat saya. Jika perdana menteri yang baru gagal, saya gagal,” kata pengasas Singapura ini.

Buku 458 halaman ini diterbitkan oleh Straits Times Press awal tahun dan memuatkan siri temu bual dengan menteri mentor yang diadakan di antara Disember 2008 dan Oktober 2009.

Membandingkan dengan sikap perdana menteri keempat Malaysia, Kuan Yew seterusnya menulis: “Mahathir tidak pernah fikir begitu. Beliau memperlekehkan penggantinya.”

Dalam satu temu bual disiarkan oleh Mingguan Malaysia hari ini, Dr Mahathir mengecam tulisan terbaru Kuan Yew dengan mendakwa bagi bekas perdana menteri Singapura itu “agama tidak penting” dan oleh itu beliau tidak hairan dengan pandangan terbarunya.

Malah Dr Mahathir juga berkata, Lee juga seorang pemimpin yang langsung tidak menghormati agama dan sensitiviti orang lain.

“Saya tidak hairan dengan kenyataan itu sebab bagi beliau agama tidak penting. Lebih-lebih lagi agama Islam.

“Bagi dia seperti kata mat salleh ‘the end justify the means’, jika beliau mahu supaya ada integrasi kaum di Singapura, maka beliau tidak boleh membenarkan Islam menjadi penghalang kepada matlamat itu,” kata Dr Mahathir.

No comments

Powered by Blogger.