Umno Main Pintu Belakang Dalam Kes SUK Selangor?

Pembangkang suka berpolemik

Oleh Khairul Azran Hussin dan Zanariah Abd Mutalib

Kerajaan negeri pertikai perkenan Sultan Selangor isu SUK dianggap derhaka

SHAH ALAM: Isu ditimbulkan kerajaan negeri berhubung pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru menunjukkan sikap pembangkang suka berpolemik.

Sambil meminta kerajaan negeri menghormati keputusan diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dihubungi Berita Harian, semalam menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu hanya membuang masa.
Pengerusi Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor, Datuk Mat Yasir Ikhsan, berkata kerajaan negeri perlu akur peruntukan perundangan sedia ada.

Katanya, beliau yakin keputusan itu lebih menjurus kepada aspek undang-undang dan bukan politik semata-mata.

“Saya berharap isu ini tidak dipanjangkan kerana Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sudah memilih calon difikirkan sesuai selain mendapat perkenan Sultan Selangor,” katanya.

Kelmarin Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata pelantikan Mohd Khusrin, 54, sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru adalah muktamad dan tidak boleh diubah walaupun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkesempatan menghadap Sultan Selangor.

Mohamad Munir berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tidak dinyatakan Menteri Besar perlu dimaklum dulu calon jawatan itu atau mendapat persetujuannya.

Ini bermakna Ketua Setiausaha Negara selaku ketua Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempunyai kuasa memilih calon berkelayakan bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri dan mendapat perkenan Sultan Selangor yang memegang kuasa eksekutif pada peringkat negeri.

Isnin lalu, Mohd Sidek mengumumkan pelantikan Mohd Khusrin bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Tempat Mohd Khusrin di JAIS pula akan diambil alih Pegawai Daerah Sabak Bernam, Marzuki Hussin, 56, juga mulai 1 Januari.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd Faizal Mohd Salleh, berkata tindakan kerajaan negeri memaklumkan bahawa pelantikan itu belum muktamad menggambarkan ada pihak tertentu cuba mempengaruhi keputusan dibuat walaupun ia sudah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai penderhaka apabila mengingkari titah Sultan.

“Kerajaan Selangor perlu beri peluang kepada beliau (Mohd Khusrin) untuk menjalankan tugas terlebih dulu dan buktikan kemampuan, bukannya terus menghukum,” katanya.

Sementara itu, kerajaan Selangor menafikan mereka lewat menghantar senarai calon bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Sultan Selangor.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, tiada peruntukan menyatakan bahawa pelantikan jawatan itu perlu dibuat dalam tempoh tertentu, malah tempoh perkhidmatan Ramli sepatutnya tamat pada 20 Mac 2011.

Katanya, kerajaan negeri sudah menubuhkan Panel Pemilihan diketuai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim serta dianggotai dua Ahli Majlis Kerajaan Negeri iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Xavier Jayakumar bagi memilih dan menyenarai pendek calon, sebelum dihantar kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Munir mengesahkan bahawa Unit Protokol Istana sudah menghantar jemputan kepada Abdul Khalid, pemimpin kerajaan negeri serta individu berkaitan, untuk upacara mengangkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah JAIS yang baru.

Majlis itu dijadualkan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang, pada 6 Januari ini selepas Sultan Sharafuddin pulang dari percutian baginda.

No comments

Powered by Blogger.