Syabas Mahfuz!



Kalau tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang. Inilah gambaran kepada tindakan Mahfuz meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd. Saya percaya sebab-sebab perletakan jawatan itu tiada kena-mengena dengan faktor luaran yakni Umno atau BN.

Mahfuz memang jenis manusia yang tidak takut dengan Umno. Dia tidak hairan sangat jika berhadapan dengan konspirasi Umno. Dia pernah masuk penjara, sanggup tidak balik rumah, berhujan berpanas untuk lawan Umno.

Baginya Umno kecil sahaja, enteng sahaja. Bukan sehari dua dia melawan Umno. Daripada seorang ahli biasa PAS, dia menapak sehingga ke kerusi Naib Presiden kerana melawan Umno. Sampai ke hari ini, semangat melawan Umno dalam dirinya tidak pernah luntur, walau pun dia semakin berusia. Mahfuz seperti tidak pernah penat melawan Umno / BN.

Namun, sesuatu yang mengejutkan apabila dia meletak jawatan dalam Kedah Sato. Orang yang tidak pernah penat seperti Mahfuz sebenarnya tidak kenal istilah letak jawatan. Tetapi dalam kes Kedah Sato, mengapa dia letak jawatan?

Tentu ada sesuatu yang tidak kena. Saya percaya dia mengambil tindakan itu kerana tidak mahu mengusutkan keadaan. Atau, tidak mahu terlibat dengan sesuatu yang pada jangkaannya boleh mengusutkan keadaan. Atau, tidak mahu bertembung dengan seseorang yang bakal mengeruhkan keadaan.

Tindakannya itu diyakini kerana dia sayangkan MB Kedah dan rakan-rakannya dalam kerajaan negeri Kedah. Jika dia terus juga berada di dalam Kedah Sato, dia akan bertembung dengan seseorang dan itu sudah tentu menimbulkan ‘malu-malu mata’ antara dia dengan orang itu.

Sedikit sebanyak saya tahu sebab dan punca perletakan jawatan itu. Sembang-sembang dengan orang PAS Kedah, membawa isyarat kepada perkara ini. Memang orang tidak tahu bahawa Mahfuz akan meletak jawatan sehingga dia meletak jawatan, tetapi soksek dalaman boleh dijadikan sebab mengapa ini semua terjadi.

Apa pun, keputusan Mahfuz sangat besar maknanya, jika mereka yang berkaitan pandai untuk berfikir. Sangat diharapkan, apa-apa sebab yang mendorong Mahfuz meletak jawatan diperbaiki. Dia meletak jawatan kerana isu-isu dalaman, bukan isu-isu luaran.

Jika tindakan Mahfuz meletak jawatan tidak menyedarkan juga pihak yang terlibat, masalah itu akan terus membarah. Dan, tidak mustahil Mahfuz akan bersuara lebih keras. Semua orang kenal Mahfuz, dia memang seorang yang berprinsip dan tidak tahan mulut jika sesuatu yang tidak betul dilihatnya berlaku.

Bukankah Mahfuz pernah bersuara suatu ketika dahulu dalam isu Arif Fahmi sehingga ramai orang marahkannya? Dia bersuara kerana dia yakin bahawa dia perlu bersuara untuk membetulkan kepincangan yang berlaku sekali pun melibatkan Tok Guru.

Kepada exco negeri Kedah yang terlibat dengan isu ini, pohon diperbaiki apa-apa yang pincang. Keadilan bukan sekadar suatu falsafah tetapi sesuatu yang boleh dilihat.

Syabas Mahfuz!

http://sauhdibongkar.blogspot.com/2010/12/syabas-mahfuz.html

1 comment

Mohamadazhan.com said...

tahnaih, ada pendirian yang mantap!

Powered by Blogger.