MP Teo: Saya akan terus layan jemputan masjid, tak kisah Utusan serang

Oleh Boo Su-Lyn


KUALA LUMPUR, 30 Dis — Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching akan meneruskan pendekatannya menyertai aktiviti anjuran umat Islam meskipun akhbar Utusan Malaysia milik Umno terus-menerus menyerangnya termasuk yang terbaru kerana mengambil bahagian dalam senamrobik di pekarangan sebuah masjid di Balakong.

Meskipun mengakui tindakan menyertai aktiviti itu di Masjid Taman Cheras kemungkinan menjejaskan sokongan undi orang Melayu, Teo berkata, beliau akan terus menyertai aktiviti seumpama itu dalam usaha merapatkan hubungan dengan para pengundinya.

Hari ini Utusan Malaysia menyiarkan berita muka depan bertajuk “Ahli Parlimen Serdang buat hal lagi?”.

Ogos lalu akhbar itu menyiarkan laporan mempersoalkan Teo masuk ruang solat Surau Al-Huda Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Beliau juga dituduh menyampaikan takzirah ketika kunjungan ketika itu.

Kini ia mendakwa Teo berada di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut.

Menurut Teo dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

“Apabila saya mendapat jemputan daripada masjid, saya akan pergi,” kata Teo kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Jika mereka (Utusan Malaysia) terus menyerang saya tanpa asas, saya tidak akan putus asa. Ia majlis komuniti yang kecil. Ini peluang untuk merapatkan hubungan dengan pengundi-pengundi saya,” kata beliau.

Bagaimanapun pengerusi jawatankuasa surau Azemi Ahmad berkata, Teo hanya bercakap mengenai skim pinjaman pendidikan Selangor ketika mengunjungi surau tersebut.

Hari ini Teo berkata, beliau dijemput oleh Masjid Taman Cheras Jaya untuk mengambil bahagian dalam senamrobik.

“Jika mereka merasakan okey bagi bukan Islam untuk hadir, mengapa mesti saya tutup pintu,” soal Teo lagi.

“Ia majlis dianjurkan oleh (pengurusan masjid), di pekarangan masjid,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Sehubungan itu kata Teo, beliau percaya tindakan Utusan Malaysia sedemikian akan menyebabkan jumlah pembacanya akan terus jatuh ekoran laporan-laporan yang tidak berasas dan bias.

“Kami mungkin hilang beberapa undi. Tetapi, saya percaya dalam jangka panjang, Utusan Malaysia akan hilang kredibiliti,” kata Teo.

“Ia akhbar bias yang sentiasa menyiarkan isu-isu perkauman dan agama,” katanya.

Teo yang baru-baru ini dipilih sebagai ahli jawatankuasa DAP Selangor juga memberitahu, ramai kalangan orang Melayu menyokong beliau ketika menjadi sasaran serangan berhubung isu lawatan ke surau Ogos lalu.

“Respons daripada orang ramai sangat bagus. Mereka menyambut saya dengan baik, saya merasakan saya melakukan yang terbaik,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.