Mahfuz: Biar Kedah jelaskan mengapa saya letak jawatan

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau telah pun memaklumkan kepada Menteri Besar dan pengurusan Kedah Sato Sdn Bhd secara rasmi apabila memutukan untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri itu baru-baru ini.

Sehubungan itu kata Mahfuz, keputusannya adalah muktamad dan menyerahkan kepada pucuk kepimpinan negeri untuk mendedahkan sebab beliau berbuat demikian.

“Keputusan saya muktamad. Dalam surat itu saya mengatakan bahawa saya meletakkan, saya bukan kata saya pohon mahu berhenti.

“Kalau saya pohon bermakna mereka akan mempertimbangkan surat saya, tidak . . . saya sudah letak jawatan, keputusan muktamad,” kata beliau sambil menambah, ia berkuat kuasa serta-merta.

The Malaysian Insider difahamkan beliau berbuat demikian berkuat kuasa 20 Disember lalu.

Ketika ditanya sebab berbuat demikian, Mahfuz berkata, dalam suratnya Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyebut beliau meletakkan jawatan “atas sebab yang semua orang sudah tahu”.

Bagaimanapun beliau enggan menghuraikan sebab-sebabnya.

“Terpulang kepada mereka (pengurusan dan kerajaan negeri) mendedahkan sebab mengapa saya memutuskan untuk meletakkan jawatan,” kata Mahfuz yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah.

“Saya mahu dengar apa mereka hendak berkata,” katanya lagi.

Dalam ulasan kepada The Malaysian Insider yang disiarkan pagi ini, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau tidak tahu apa-apa kononnya Mahfuz telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Sato.

Laporan media lewat petang semalam menyebut Mahfuz telah menghantar surat kepada pihak pengurusan syarikat itu dan juga kepada Menteri Besar Kedah.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Azizan berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berhubung keputusan Mahfuz itu.

Mahfuz berkata, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada pihak pengurusan Kedah Sato minggu lalu yang merupakan anak syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB).

Beliau berkata memandangkan berita itu sudah tersebar sama ada melalui internet ataupun dari mulut ke mulut, beliau mengambil sikap terbuka dengan tidak menafikannya kerana tidak mahu berbohong kepada umum.

Desas-desus tentang peletakan jawatan Mahfuz sebagai Pengerusi Kedah Sato tersebar sejak akhir-akhir ini dikatakan berpunca daripada Mahfuz yang tidak bersetuju dengan penganugerahan projek pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah kepada pihak yang tidak mengambil bahagian dalam tender dan tidak mengikut peraturan.

Februari lalu, Azzian menyaksikan majlis meterai kemudahan pembiayaan bernilai RM330 juta antara Bank Islam Malaysia dengan Kedah Sato bagi pembinaan dan pembangunan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil, Baling.

No comments

Powered by Blogger.