Dr Xavier sangkal Kuil Sivan ditutup kerana arahan Anwar

SHAH ALAM, 31 Dis - Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menjelaskan Kuil Sivan, Bukit Gasing terpaksa ditutup sementara bagi memberi laluan membaik pulih cerun untuk mengelakkan sebarang malapetaka di kawasan itu.

Kenyataan ini sekali gus menyangkal dakwaan N Gobalakrishnan menuduh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penutupan kuil tersebut.

Sehubungan dengan itu, kerajaan Selangor akan memberi penjelasan terbuka secepat mungkin kepada penduduk kaum Hindu di kawasan itu mengenai perkara tersebut.

“Pihak kuil telah bersetuju membelanjakan RM1.4 juta untuk membaik pulih cerun dengan kerjasama juruteraKumpulan Ikram Sdn Bhd. Ada berlaku tanah runtuh di kawasan itu baru- baru ini,” jelas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) petang semalam.

Kata Xavier, pembinaan kuil Sivan telahpun berjalan sebelum kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) mengambil alih Selangor.

Menurut beliau, kuil tersebut dibina di tapak hutan simpan tanpa kelulusan, namun setelah perbincangan kerajaan negeri membenarkan projek diteruskan.

Namun setelah pemeriksaan, jurutera mendapati pembinaan kuil tersebut tidak menepati spesifikasi jurutera selain berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.

Justeru katanya, kerajaan Selangor terpaksa memberhentikan pembinaan demi keselamatan umum.

“Setelah laporan dikeluarkan, kita mendapati perlu ada kerja membaikpulih cerun dan kerja ubahsuai perlu diberhentikan. Kita halang orang ramai memasuki kuil.

“Penjelasan kepada penduduk akan dibuat secepat mungkin berhubung kawasan itu dan kita berharap dapat menyelesaikan perkara ini. Kita perlu pastikan keselamatan awam sebelum ia dibuka kepada umum,” jelas beliau.

No comments

Powered by Blogger.