Pakatan Rakyat perlu jelaskan tentang ‘Ketuanan Rakyat’ – Anwar

SHAH ALAM, 30 Nov – Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) perlu menerangkan dan memberi penjelasan kepada rakyat negeri masing-masing mengenai konsep ‘Ketuanan Rakyat’ yang diangkat bersama Pakatan.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, polemik Umno memutarbelitkan kenyataan Presiden Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semalam, mengenai isu meninggalkan ‘Ketuanan Melayu’.

Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata, segala data dan fakta mengenai kegagalan konsep yang dibawa Umno dapat dilihat.

“Begitu juga dalam isu ini, tanggungjawab utama kerajaan negeri ialah untuk menegaskan pendirian kita mengenai ‘Ketuanan Rakyat,’ kerana nampaknya polemik atau Wacana Ketuanan Melayu itu juga diputarbelitkan oleh kelompok Melayu yang kaya dan rasuah,” katanya.

Persidangan sehari itu dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Exco-exco kerajaan negeri dan wakil-wakil anak syarikat kerajaan negeri.

Resolusi Shah Alam yang dikeluarkan hasil persidangan ini juga membawa kepada hubungan lebih rapat dalam melawan serangan daripada Kerajaan Pusat.

Malah, satu badan media antara negeri Pakatan bakal ditubuhkan untuk menghakis serangan media Barisan Nasional (BN).

“Negeri-negeri ini adalah Kerajaan Pakatan, secara rasmi mereka kemukakan ketetapan yang diluluskan kepimpinan Pakatan yang menjadi dasar Pakatan supaya tidak ada usaha khianat dari Umno, pimpinan atau media mereka untuk cuba merosakkan institusi ini sepertimana dilakukan sebelumnya untuk menimbulkan kecurigaan,” ujarnya lagi.

Anwar mahukan agar hubungan akrab antara parti dan ahli biasa terjalin di peringkat bawah bagi memastikan tiada ruang kelemahan dapat dieksploitasi BN.

“Saya tidak runsing sangat dengan serangan, tapi saya setuju dengan Kit Siang bahawa tiba masa dan ketikanya untuk memastikan muafakat dan keakraban kita dalam parti cukup mantap.

“Kita tidak mungkin dipatahkan dari serangan luar, kita mungkin sedikit lemah dan tergugat kalau kita menimbulkan sedikit syak dan wasangka dari dalam, maka kami kepimpinan mengesyorkan kerjasama dari peringkat negeri,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

1 comment

tungkaran hati.blogspot said...

Perjuangan PAS lebih bermaruah tanpa PKR dan DAP.
Keujudan PAS dalam PR hanya sebagai Babi tunggangan sahaja.
Tak percaya? Tanyalah sama Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Powered by Blogger.