Maha: Jangan sekadar pameran sahaja

Nazri Abdullah

SERDANG, 30 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa kerajaan lebih serius untuk memajukan bidang pertanian, dan bukan sekadar mengadakan program seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2010 sahaja.

Walaupun memuji langkah mengadakan Maha, namun beliau mahu kerajaan turut menyediakan insentif dan subsidi kepada rakyat yang mahu menceburkan diri dalam bidang pertanian seperti dibuat beberapa negara lain.

"Sebagai contoh, dalam sektor penanaman padi di Jepun, kerajaannya memberi subsidi 99 peratus mengalakkan pertanian ini dalam persediaan mereka membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya.

"Malangnya negara membangun seperti Malaysia hanya mengejar kemajuan dalam bidang teknologi yang lebih canggih, berbanding sektor pertanian yang sebenarnya perlu diperkasakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang kepada media selepas melawat Maha 2010, hari ini.

Justeru, beliau mengharapkan agar Maha tidak hanya sekadar berhenti di peringkat pameran sahaja, sebaliknya sebagai satu lapangan awal untuk memajukan sektor pertanian negara.

"Yang penting tindakan susulan oleh kementerian, jabatan atau agensi kerajaan," kata beliau yang turut disertai isteri, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah.

Turut sama ialah timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan isteri.

No comments

Powered by Blogger.