Empat Terbunuh Selepas Kereta Dinaiki Langgar Lori Tunda Sebelum Dirempuh Bas

JOHOR BAHARU, 28 Nov (Bernama) -- Empat pemuda terbunuh manakala dua lagi tercedera apabila kereta yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori tunda, sebelum ia dilanggar pula oleh sebuah bas ekspres dan sebuah lagi kereta di Kilometer 110 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Pagoh-Yong Peng, Sabtu.

Yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu ialah pemandu kereta, T. Sajeevan, 22, dan penumpang A.Manimaran, 17, Shamugam, 17 serta P.Sathiya, 17.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Adnan Azizon berkata mayat P.Sathiya hanya ditemui pada pukul 4.20 petang di sebuah sungai berhampiran dengan tempat kejadian.

Beliau berkata empat daripada penumpang kereta Proton Iswara itu tercampak keluar dalam kejadian tersebut, manakala dua lagi tersepit dalam kereta berkenaan.

Katanya selepas merempuh lori tunda, kereta itu terbabas dan melintangi jalan, sebelum ia dirempuh sebuah bas ekspres, dan kemudiannya dilanggar oleh sebuah lagi kereta.

Adnan berkata dua daripada penumpang kereta itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi semasa dalam perjalanan untuk dihantar ke Hospital Muar.

Katanya dua penumpang kereta itu yang cedera parah kini dirawat di Hospital Muar, manakala pemandu, penumpang bas ekspres serta kereta lain yang turut terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya kejadian berlaku semasa kereta itu sedang dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala arah Kuala Lumpur, ketika hujan lebat.

No comments

Powered by Blogger.