DAP Selangor perlu bersatu padu – Lim Kit Siang

SHAH ALAM, 29 Nov – Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi amaran kepada DAP Selangor, bahawa Pakatan Rakyat (Pakatan) berkemungkinan tewas dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika tidak bersatu padu.

Tokoh politik itu menggesa perwakilan supaya menghayati kekalahan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Terengganu pada tahun 2004.

Lim Kit Siang berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan Konvensyen DAP Selangor.

Ketua Ahli Parlimen DAP itu menyeru perwakilan supaya menyokong wakil-wakil parti yang berada dalam kerajaan Selangor sebagai tanda kesatuan yang utuh.

Beliau melahirkan rasa khuatir dengan sikap sambil lewa sesetengah pemimpin dan ahli yang beranggapan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mungkin dapat menewaskan Pakatan di Selangor.

“Adakah Kerajaan Pakatan di Selangor sudah kebal daripada dirampas Umno-Barisan Nasional?” soal Lim Kit Siang

Kit Siang memberi amaran, persaingan sengit antara kem Ahli Parlimen Teresa Kok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teng Chang Khim, jika tidak terkawal akan mengundang kekalahan yang sama dialami PAS di Terengganu pada 2004.

“Pada pilihan raya umum (PRU) 1999, PAS tidak pernah menjangkakan kuasa untuk menang di Terengganu tetapi menyapu bersih 28 daripada 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

“Dan pada pilihan raya umum 2004, PAS tidak menjangkakan akan kehilangan kuasa di Terengganu apabila tewas pada Umno-BN dengan keputusan terbalik, 4 daripada 32 kerusi,” Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata, beberapa pemimpin Umno-BN seperti Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan BN akan memenangi Selangor kembali jika persaingan kuasa antara pimpinan Pakatan berterusan.

No comments

Powered by Blogger.