Bisakah SPRM mencontohi S'pura No.1 bersih rasuah?

Faisal Mustaffa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah atau singkatannya BPR mula beroperasi pada Okt 1, 1967 sebagai sebuah jabatan penuh. Akhirnya pada Jan 1, 2009, ia diambilalih oleh SPRM.

SPRM beroperasi mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2008 yang digubal bagi menggantikan Akta Pencegah Rasuah 1997 dan diketuai oleh seorang ketua pesuruhjaya.

Tindakan menubuhkan SPRM mungkin membawa ruang dalam kerajaan memberi sedikit keyakinan kepada rakyat yang melihat rasuah ini salah satu punca kegagalan di dalam amalan urus-tadbir baik. Namun, sebaik sahaja suruhanjaya ini beroperasi beberapa bulan, Teoh Beng Hock didapati mati selepas disoalsiasat SPRM.

Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat buruk dalam indeks rasuah. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Transparency International, Malaysia terletak di tangga 56 manakala negara-negara jiran seperti Singapura (tangga ke-1), Brunei (tangga ke-38). Negara-negara yang berada di belakang Malaysia ialah Thailand (tangga ke-78), Indonesia (tangga ke-110), dan Filipina (tangga ke-134).

Sekiranya kita melihat kepada persepsi rakyat terhadap rasuah, Merdeka Center telah menjalankan kajian dan mereka mendapati 81% daripada 1,241 respondennya berpendapat korupsi dan amalan rasuah masalah yang serius di Malaysia. Seramai 72% pula berpendapat pemberi maklumat (whistleblowers) diperlukan bagi membendung kegiatan tersebut.

Mencurahkan air ke daun keladi

Kita bersyukur Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Protection Act) 2010 akhirnya akan digubal pada Dis 15 akan datang. Kita juga mengharapkan bahawa Parlimen akan menggubal Akta Kebebasan Maklumat yang sememangnya memudahkan pihak SPRM dalam menjalankan siasatan dan orang ramai tampil ke hadapan dalam bekerjasama membendung kegiatan rasuah.

Media juga mempunyai peranan yang penting di dalam perihal ini. Media sepatutnya lebih professional dalam membuat laporan penyiasatan (investigative report) memandangkan mereka lebih rapat dan terdedah dengan kejadian semasa. Media juga boleh memainkan peranan yang amat penting dalam memberi kesedaran kepada orang ramai di semua peringkat umur.

Konvensyen PBB Melawan Korupsi juga bersependapat bahawa pencegahan dan pendidikan awam ialah cara terbaik dalam menangani korupsi.

Apa yang diharapkan agar tidak ada pendakwaan terpilih dijalankan ke atas orang yang disyaki, termasuk ianya dikuatkuasakan kepada sesiapa sahaja, termasuk menteri kabinet dan orang yang di belakang pembunuh model-model terkenal serta jutawan jelita.

Peguam yang mengatur hakim juga bebas berlegar.

Disamping itu, akta yang bercanggah dengan pemberi maklumat seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan perlulah dimansuhkan bagi menunjukkan keseriusan kerajaan.

Mengikut pengalaman Malaysia, isu-isu yang membabitkan rasuah secara besar-besaran seperti Perwaja dan PKFZ masih mendapat 'perlindungan'.

Individu seperti Ketua Menteri Sarawak masih semangat menampuk kuasa. Ketua Menteri Sarawak hidup seperti raja manakala rakyat Sarawak hidup dalam kemiskinan. Pada tahun 2009, hasil pendapatan Sarawak berjumlah RM3.726 billion, tetapi 70% daripada penghuni rumah panjang masih tidak disalurkan tenaga elektrik dan air paip bersih ataupun menikmati kemudahan jalanraya yang sempurna.

Kesedaran di Hong Kong, S'pura

Pertubuhan Banga-bangsa Bersatu (PBB) melihat rasuah sebagai salah satu faktor yang menyekat sesebuah negara daripada membangun. Mengikut ukuran PBB, negara membangun bukanlah dilihat pada bangunan-bangunan pencakar langit dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara itu sahaja.

Kajian perbandingan United Nations Development Programme (UNDP) 2005 menyatakan agensi penguatkuasaan korupsi mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan sungguhpun tiada laporan diterima. Selain daripada ketakutan akan keselamatan pelapor, sistem birokratik yang diamalkan menyukarkan orang ramai untuk membuat laporan.

Kajian daripada (UNDP) menyatakan, Singapura mengambil masa 15 tahun untuk menubuhkan Biro Penyiasatan Amalan Rasuah (CPIB) sebagai sebuah agensi bebas, bermula 1952, di luar bidnag kuasa polis. Hong Kong mengambil masa 26 tahun bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) bermula 1974.

Sebenarnya, Singapura hanya mengerah CPIB untuk menjalankan pencegahan rasuah mereka bermula tahun 1959. Bagi ICAC pula, badan itu hanya memerlukan beberapa bulan sahaja untuk ditubuhkan bermula Februari 1974. Menurut bekas pesuruhjaya ICAC Betrand de Speville, kunci kepada kejayaan bagi kedua-dua negara itu ialah kesedaran yang tinggi dan usaha yang berlipat ganda.

Apa yang dicadangkan (dan berdasarkan kepada pengalaman kebanyakan negara melawan korupsi), sekiranya sesebuah negara itu bersungguh-sungguh memerangi korupsi, kerajaan perlulah memperuntukkan sekurang-kurangnya 0.5% daripada belanjawan kepada usaha ke arah itu.

Berdasarkan maklumbalas yang diperolehi daripada rakyat Singapura dan Hong Kong, pelaburan pembayar-pembayar cukai yang paling berbaloi ialah perbelanjaan melawan korupsi di negara mereka.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.