Barcelona belasah Real Madrid 5-0

BARCELONA (Sepanyol): Jose Mourinho mengalami mimpi buruk apabila skuad bimbingannya Real Madrid dibelasah 5-0 oleh Barcelona di Camp Nou, awal pagi tadi, sekali gus kekalahannya yang pertama sejak menjadi jurulatih kelab itu musim ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Barcelona bimbingan jurulatih Pep Guardiola melonjak ke kedudukan pendahulu Liga Sepanyol. Wira Sepanyol ketika final Piala Dunia Afrika Selatan, Xavi dan Pedro Rodriguez meletakkan Barcelona di depan sebaik perlawanan memasuki minit ke-10 dan ke 18.

Penyerang Sepanyol David Villa menambah derita Real dengan melakukan dua jaringan pada minit ke-54 dan minit ke-56.

Pemain ganti Jeffren Suarez kemudian menjadikan gol kelima Barca pada minit-minit terakhir permainan.

Mourinho nyata tidak mampu mengulangi kejayaannya ketika membimbing Inter Milan musim lalu yang berjaya mengalahkan Barcelona pada peringkat separuh akhir saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Barcelona memintas Real di takhta liga dengan memungut 34 mata, Real di tempat kedua dengan 32 mata, diikuti Villareal (27 mata), Espanyol (25) dan Valencia (24).

- AFP

No comments

Powered by Blogger.