Apakah Dakwaan Penyelewengan Pemilihan Jejas Peluang PKR Dalam Pilihan Raya Umum Nanti?

Oleh Alan Ting

PETALING JAYA,: Bila Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan parti itu baru-baru ini, yang dilempari dakwaan penyelewengan tidak akan menjejas peluangnya dalam pilihan raya umum akan datang, timbul respons berbelah bagi dari kalangan penganalisis politik dan beberapa orang anggota parti.

Alasan beliau ialah parti itu telah melakukan segala mungkin untuk membetulkan segala kecacatan dan kelemahan dalam sistem pemilihan langsung yang diadakah buat kali pertama itu.

Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat kegagalan itu — yang menyaksikan ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri dari bertanding untuk jawatan timbalan presiden sebelum bertindak keluar parti — akan menjejas peluang mereka dalam pilihan raya umum itu.

"Bagi saya, penyelewengan ini tentu menjejas parti itu, tidak setakat kepercayaan di kalangan penyokong tetapi juga mereka di luar parti, terutama mereka yang duduk di atas pagar dan memerhatikan pemilihan ini dari dekat," kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian.

"Saya percaya mereka yang kalah dalam pemilihan akan menunjukkan kemarahan dan kekecewaan, kerana mereka kalah akibat perbuatan mempersenda sistem," ujar beliau. Dr Sivamurugan menarik perhatian terhadap keputusan tidak rasmi pemilihan parti yang menunjukkan mereka mendapat undi India yang berkurangan.

"Jika mereka tidak mempunyai pemimpin India yang dipilih untuk jawatan naib presiden, parti itu boleh melantik seorang pemimpin kaum itu untuk jawatan tersebut.

"Parti itu mempunyai 33 peratus penyokong India. Apapun, keputusan akan menjejas parti. Mungkin persepsi di kalangan pengundi bandar tentang perebutan jawatan dalam PKR tidak akan berubah, tetapi tidak di kalangan pengundi luar bandar," kata beliau.

Beliau berkata sesetengah pihak dalam parti itu sendiri mula mempersoalkan mengapa Anwar selaku Ketua Pembangkang di Parlimen, tidak bertanding sebagai presiden parti.

"Anwar kini perlu memfokus kepada bagaimana hendak memulihkan keyakinan dan kepercayaan kerana parti itu sedang menghadapi cabaran terbesar sejak Pilihan Raya Umum 2008.

"Bagaimana beliau harus menenangkan mereka yang telah kalah dalam pemilihan parti agar terus menyokong parti?," ujar beliau.

Malah rakan mereka dalam pakatan Pembangkang turut memberi perhatian terhadap apa yang berlaku dalam pemilihan PKR bila anggota exco kanan Selangor dan pemimpin DAP Teresa Kok secara terbuka mengingatkan anggota DAP di Selangor agar tidak mencontohi apa yang berlaku dalam PKR.

Namun, beberapa penganalisis politik lain percaya apa yang berlaku semasa pemilihan PKR memberi impak kecil terhadap tahap sokongan kepada parti itu, dan ia bergantung juga pada bila pilihan raya umum diadakan.

"Ia tidak menjejas PKR. Ia bergantung pada bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan bila pilihan raya umum diadakan. Ia hanya menjejas PKR pada jangka pendek," kata penganalisis politik di Universiti Monash Prof James Chin.

"Sebabnya mudah, rakyat Malaysia mudah lupa. Rakyat Malaysia mudah mengalih perhatian dengan skandal politik," kata beliau.

Bagaimanapun, Chin berpendapat cabaran terbesar parti itu ialah sama ada orang nombor dua parti atau mereka yang dipilih sebagai timbalan presiden mempunyai pengaruh politik yang cukup untuk mengambil alih jawatan presiden parti.

"Persoalannya ialah…sama ada, sesiapa yang dipilih sebagai orang nombor dua mempunyai pengaruh politik yang cukup untuk mengambil alih jawatan nombor satu, sekiranya Anwar dipenjarakan berikutan perbicaraan sodominya (sekarang).

"Ini cabaran terbesar dihadapi PKR, bukan bilangan undi yang diraih seseorang calon," kata beliau.

1 comment

Yong said...

My 2 cents opinion: Peluang menang tak terjejas kalau calon PKR tu disenangi rakyat dan disokong oleh jentera PAS dan DAP. Tapi kalo dia pun hampeh, ego dan orang (termasuk ahli PKR yang tak memilih dia dulu) menyampah, takde harapanle.

Pokoknya toksah le tamak. Kalo kawasan tu calon takde penyokong, janganle bertanding. Bagile orang lain.

Powered by Blogger.