Tun Dr Lim Chong Eu Dimasukkan Ke ICU, Hospital Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 27 Okt (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas diserang angin ahmar Selasa.

Bekas Presiden Gerakan berusia 91 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada pukul 11 pagi.

Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan, ketika dihubungi Bernama, , mengesahkan kesihatan Chong Eu tidak begitu baik.

"Sejak kebelakangan ini, beliau memang tidak berapa sihat," katanya.

Ketua Menteri Lim Guan Eng, yang melawat Chong Eu, enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan mengenai kesihatan tokoh politik itu.

Chong Eu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 21 tahun mulai Mei 1969 hingga Oktober 1990 dan menerajui parti Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971.

Di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1972.

Chong Eu dilahirkan di sini dan mendapat pendidikan awal di Penang Free School sebelum mendapat Biasiswa Ratu pada 1937 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan d Universiti Edinburgh, Scotland.

Beliau mendapat ijazah perubatan dan pembedahan pada 1944 dab aktif dalam perkhidmatan awam termasuk dilantik ke majlis perundangan negeri pada 1949.

Dalam politik, beliau pernah menjawat beberapa jawatan kanan dalam MCA sebelum menjadi presiden Gerakan.

No comments

Powered by Blogger.