Mukhriz Mahathir ganti Shafie Apdal

Jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah

Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Anak mantan perdana menteri, Datuk Mukhriz Mahathir disebut-sebut akan dilantik menjadi pengerusi perhubungan Umno Kedah yang baru.

Beliau akan menggantikan pengerusi sekarang, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga naib presiden Umno dalam satu rombakan tidak lama lagi.

Dalam Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu rombakan pelbagai peringkat Umno akan diadakan.

Rombakan itu dipercayai sebagai menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka diadakan pada tahun depan.

Shafie yang juga menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menjadi pengerusi perhubungan Umno Kedah setahun lalu dalam satu rombakan yang dibuat Najib sebaik beliau dilantik sebagai perdana menteri dan presiden Umno pada April 2009.

Kedah jatuh ke tangan PAS dalam PRU 2008 mengakhiri penguasaan BN di negeri itu sejak negara merdeka pada 1957.

Empat lagi negeri yang dikuasai pembangkang selepas PRU 2008 ialah Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Bagaimanapun, Barisan Nasional berjaya merampas semula Perak akhir tahun lalu manakala PAS memerintah Kelantan sejak PRU 1990.

Mukhriz adalah ahli parlimen Jerlun dan timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Bagaimanapun, beliau gagal dalam perebutan jawatan ketua Pemuda Umno, Mac tahun lalu.

Kepimpinan Mukhriz diterima

Kepimpinan Mukhriz akan diterima kerana pengaruh ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang besar di Kedah.

Sumber memberitahu Mukhriz masih muda dan dengan pengaruh ayahnya akan menjadi pemimpin besar satu hari nanti manakala Shafie gagal memulihkan Umno Kedah sebagaimana yang diharapkan.

"Beliau tenggelam di sebalik pengaruh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid yang kini menjadi ahli dewan undangan negeri Pedu dan ketua pembangkang di DUN Kedah.

"Selain kekurangan masa, Shafie juga dikatakan tidak mendapat sokongan daripada pemimpin Umno Kedah ekoran pengaruh Mahadzir.

Lagi pun Shafie orang Sabah dan bukannya orang Kedah," kata sumber itu lagi. Baru-baru ini, Shafie dilaporkan sebagai berkata, beliau sedia melepaskan jawatan ketua perhubungan Umno Kedah kerana jawatan itu bersifat sementara.

No comments

Powered by Blogger.