Mujahid Yusof Rawa :Hadiah harijadi terbaik untuk saya .

Harijadi kita mungkin tidak penting untuk diketahui umum, kecualilah keluarga terdekat dari isteri, anak-anak dan saudara-saudra lain. Harijadi selalu dikaitkan dengan hari istimewa, istimewa kerana kita diperingatkan tarikh kita muncul di dunia fana ini. Ia satu sambutan yang hebat kerana memberi harapan kepada kedua ibu bapa yang menanti saat-saat yang bahagia tersebut. Ada lagi aspek yang seringkali dilupai, bahawa setiap kali kita menyambut harijadi, kita menjadi semakin tua dan ditelan waktu, tanpa kita sedari orang yang lebih muda memanggil kita “Pakcik” dan bukan lagi “Abang”, ajaibnya betapa waktu begitu pantas berlalu! Harijadi hanyalah untuk kita diperingatkan “we are getting old”.

Ada satu lagi perkara yang sering dikaitkan dengan harijadi, iaitu hadiah yang diberikan kepada “birthday boy” untuk meraikan tarikh yang penuh dengan kegembiraan itu. Berbagai cara kreatif dibuat untuk menyampaikan mesej harijadi, yang penting ia diisi dengan kasih sayang dan memberikan kepada penerima satu makna yang besar dan berkesan dalam jiwanya. Selalunya hadiah ini diberi oleh orang yang paling disayangi. Saya menerima berbagai bentuk hadiah yang bermakna dari isteri saya sejak kami berkahwin begitu juga menerima hadiah dari ibu bapa saya dan keluarga saya dalam bentuknya yang berbagai tetapi penuh bermakna. Selalunya hadiah itu adalah sesuatu yang diinginkan oleh kita lalu pada harijadi kita akan menerimanya. Itulah keajaiban hadiah harijadi.

Kali ini saya menerima satu harijadi yang cukup bermakna. Seminggu sebelum menyambut harijadi saya berada dalam kesibukan jadual. Sidang Parlimen baru bermula 11 Oktober, pembentangan bajet 15 Oktober, 18 Oktober bermulanya perbahasan bajet manakala PRK Galas pulak saya dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS), jadi mesyuarat membuatkan saya terpaksa menumpu kepada dua perkara pada waktu yang sama, sidang Parlimen dan Galas. Minggu itu juga pada 21hb saya bergegas ke Dubai dan Doha kerana menghadiri forum yang dianjurkan oleh Persatuan Malaysia di sana. Saya bertemu dengan berbagai rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai bidang pakar dan professional mengharumkan nama Malaysia. Pada 24hb pesawat Emirates mendarat di Kuala Lumpur. Keluarga saya tidak sabar menanti kepulangan saya setelah seminggu tidak bertemu lagipun 25hb adalah harijadi saya, jadi mereka tidak sabar untuk meraikan bersama dengan saya. Sudah tentu berada bersama keluarga pada detik penting dalam kehidupan kita adalah satu nikmat yang tidak dapat dibayangkan, saya akan senantiasa menghargainya namun sebagai wakil rakyat saya juga mempunyai tanggungjawab dengan pengundi saya. Pada esoknya 25hb saya tidak menduga akan mendapat “hadiah” yang mengajar saya erti menggalas tanggungjawab dan amanah rakyat.

Pada harijadi saya, saya berada bersama Ah Tek dan Wong di Kuala Kurau dan Bak Chua di Tanjung Piandang, misi saya ialah membuka kaunter daftar pemilih dan sekaligus bertemu dengan rakyat di sana, ia adalah routine biasa, apa yang tidak biasa ialah ia berlaku pada harijadi saya. Apa yang bermakna hadiah hari itu ialah saya berkesempatan menziarahi pasangan warga emas berbangsa Cina yang uzur dan dalam kedaifan. Suaminya lumpuh, manakala isterinya sudah tidak dapat bekerja lagi sebagai pembantu kedai makan. Matanya terkena minyak panas ketika sedang menggoreng dan kerana itu matanya hampir kabur. Ah Tek minggu sebelumnya menghubungi saya mengadu tentang bagaimana JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) enggan membantu apatah lagi surat sokongan ditandatangani oleh YB Yunus Jamhari, ADUN Kuala Kurau dari PKR. Saya berjanji kepada Ah Tek untuk menziarahi pasangan warga emas tersebut. Seperti yang dijanjikan, dengan membonceng motor bersama Ah Tek kami bergerak dari pusat daftar pemilih ke rumah warga emas tersebut. Saya mendapati rumahnya yang di tepi pelantar jeti Kuala Kurau kosong. Isterinya keluar mendapatkan kami di pintu, Ah Tek berbicara sesuatu yang saya faham katanya “ini ada YB datang nak tengok puan” sambil menunjukkan kepadanya surat permohonan JKM supaya menyimpannya dengan baik sebagai rujukan kepadanya. Saya menghulurkan sedikit bantuan sambil berkata “ini duit mau ciak (minum-minum) kopi saja, kita cuba dapat bantuan kalau boleh” hadiah harijadi saya pagi itu ialah melihat wanita itu menangis sebak dengan kedatangan saya, saya turut sebak sambil menenangkan dia bahawa bersabarlah dan moga Tuhan memberikan kekuatan mengharungi cabaran hidup ini, dia terus menangis. Ah Tek, Wong dan Abang Hamdan terdiam sejenak menahan sebak mereka. Alangkah besarnya kejadian Allah yang mengajar kita supaya “buta” dalam menghulur bantuan kerana kita manusia yang ada perasaan dan ada jiwa. Hebatnya hadiah harijadi saya hari itu. Kami meninggalkan warga emas itu dan menyinggah ke sebuah rumah menziarahi kematian seorang Cina. Saya menatap mayatnya dan mengenali orang tua itu yang sering menghadiri majlis PAS dan selalu mengulangi katanya bahawa beliau akan menyokong PAS sampai mati! Sayunya saya. Kami meninggalkan Kuala Kurau menuju ke Tanjung Piandang, Bak Chua menanti kami manakala Bob (pegawai saya) sudah ada di situ sejak pukul 9 pagi lagi mendaftar pemilih baru dan menerima aduan-aduan rakyat di sana. Saya membonceng motor Bak Chua pula ke kedai-kedai kopi sepanjang pekan Tanjung Piandang bersalaman dengan penduduk sana dan bertanya khabar. Mereka memanggil saya Mukasi (Mujahid) dan setiap kali mereka bersalaman mereka akan berkata “mesti koyok (PAS) punya, jangan takut!” Salah satu kedai kopi saya duduk bersama dan menerima aduan nelayan yang mengadu fobia turun laut kerana takut kepada APMM (Agensi Penguatkuasa Maritime Malaysia) yang sering menahan bot-bot mereka atas berbagai kesalahan khususnya mencerobohi sempadan. Saya menerima aduan dan memang pun sebelum ini Pusat Khidmat saya telah mengadakan sesi dialog dengan APMM, Perikanan dan Polis Marin dalam masalah yang dihadapi oleh Nelayan di Kuala Bagan Tiang.

Hadiah saya kedua pagi itu ialah apabila seorang nelayan memberikan saya satu keinsafan dengan kata-katanya “kita tau, PAS punya olang susah macam kita jugak, itu pasal kita sokong sama you, you mesti ingat mesti tolong sama kita susah punya olang!” Saya tersentak dalam senyuman kerana terkenangkan kepada hadis Nabi s.a.w “Ingatlah kamu dibantu dengan kemenangan kerana orang yang susah dan tertindas di kalangan kamu” Kata-katanya teriang di telinga saya sampai saat ini. Berbangganya kita menjadi YB bukanlah kerana kita hebat tetapi harapan pengundi yang susah kehidupannya serta memastikan amanah terlaksana adalah hakikatnya mengapa kita menjadi YB. Hadiah pertemuan dengan aduan nelayan hari itu adalah cukup istimewa. Tidak cukup bersembang di kedai kopi, kebetulan hari itu Perikanan berada di jeti Tanjung Piandang menilai dan mengukur vessel nelayan untuk memberi kelulusan lesen kepada mereka. Saya membuat surprise check dan apabila saya sampai bersalaman dengan pegawai-pegawai perikanan yang sibuk mengendalikan tugas meluluskan vessel-vessel nelayan. Mulanya mereka tidak mengenali saya tetapi setelah salah seorang dari mereka cam saya, terus mereka melayan saya dengan penuh hormat malah ada yang bergambar bersama saya untuk kenangan. Saya mengambil kesempatan bertemu dengan kelompok nelayan di atas jeti dan mengucapkan mereka selamat. Hampir semua mengadu hal mereka susah cari makan sekarang, saya mengatakan kepada bersabar dan jika ada masalah saya boleh membantu dengan kadar kemampuan yang ada pada saya. Sekurang-kurangnya mereka berasa tenang kalaupun tidak banyak menyelesaikan masalah mereka.

Pukul 12.00 tengah hari selesai misi saya pada pagi harijadi saya. Dalam kereta Abang Hamdan (pegawai khas saya) dan Jas (pegawai separuh masa) berbual berbagai perkara tentang insiden-insiden pagi tadi. Saya memberitahu mereka hari ini adalah harijadi saya, Abang Hamdan dengan seloroh berkata, harijadi kena sambut dengan keluargalah bukan dengan rakyat…”, saya pun membalas dengan berkata “kalau Abang Hamdan nak tau, pagi ini bersama rakyat adalah hadiah harijadi saya yang terbaik, malah warga emas dan kata-kata nelayan di kedai kopi adalah hadiah yang menginsafi saya hari ini”. Tentang keluarga sebenarnya saya telah menikmati saat-saat itu di malam harijadi saya. Isteri saya menyediakan makanan favourite keluarga iaitu Makroni Bakar Arab. Kami menikmatinya sambil menonton DVD filem Hindi bertajuk “Paa” lakonan Amitabh Bachchan dan anaknya, sungguh menyentuh hati.

Apapun, saya tidak sabar untuk menulis satu artikel tentang hadiah istimewa saya pada 25hb Oktober lalu bersama rakyat di Kuala Kurau dan Tanjung Piandang dengan harapan anda menikmati bersama hadiah unik saya pada hari tersebut. Ingin tahu umur saya? Cubalah teka…

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.

No comments

Powered by Blogger.